Ferzalfie Fauzi dan Firdaus Hashim dan Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Hari penuh bersejarah buat Harian Metro (HM), jelas Pengarang Kumpulan HM, Husin Jahit selepas menyempurnakan majlis penyerahan hadiah kemenangan utama Anugerah Ikon Sukan (AIS), hari ini.

Husain berkata, HM akan meneruskan AIS selepas berjaya menganjurkan anugerah sulung itu dengan penuh gilang-gemilang, Januari lalu.

"Kita akan teruskan anugerah ini (AIS) walaupun ini kali pertama kita menganjurkannya.

"Semangat bagi meneruskan AIS ini lahir apabila mendapat maklum balas luar biasa di luar sana. Baik pemain industri sukan mahupun atlet semua ternanti-nanti AIS musim kedua," katanya ketika ditemui media di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), hari ini.

Husin berkata, AIS memberi pengiktirafan sebenar kepada atlet dan pemain industri sukan tatkala pemilihannya dibuat 50 peratus daripada peminat, manakala baki 50 peratus lagi melalui pemilihan juri profesional.

Dalam pada itu, Husin lega semua pemenang utama sudah menerima hadiah masing-masing.

"Saya belum puas selagi tidak melakukan penyerahan kereta kepada pemenang. Sekarang Alhamdulillah, saya berpuas hati sudah sampaikan dua kereta kepada pemenang yang sepatutnya.

"Secara keseluruhan anugerah ini adalah satu pengiktirafan besar kepada atlet. Seperti Mohd Al-Jufferi Jamari kalau tidak pilih secara terperinci, kita tidak kenal beliau walaupun sudah menang empat kali juara dunia silat.

"Melalui AIS ini kita mencari individu paling layak walaupun pada awalnya ramai calon lain yang kita lihat agak sengit untuk mengetahui siapa sebenarnya paling terbaik," katanya.

Jufferi yang dipilih sebagai Ikon Sukan Terbaik AIS menerima kenderaan pelbagai guna (SUV) Nissan X-trail manakala pengundi paling kreatif, Maisara Subhatina Md Fuzi menerima kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara.

Berbeza dengan anugerah sukan lain, pemenang AIS ditentukan menerusi 50 peratus undian juri profesional manakala 50 peratus lagi undian peminat.

Ini bermakna, setiap atlet yang mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa berpeluang menjadi pemenang dengan syarat dia popular dalam kalangan peminat walaupun bukan daripada sukan utama.

JUFFERI berkata, kedua-dua negara terbabit dilihat cukup serius dalam mengembang dan melahirkan pesilat bertaraf dunia. FOTO YAZIT RAZALI
JUFFERI berkata, kedua-dua negara terbabit dilihat cukup serius dalam mengembang dan melahirkan pesilat bertaraf dunia. FOTO YAZIT RAZALI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 4:39 PM