NUR Aisyah perlu mencari pengalaman berlumba dengan pelumba terbaik dunia sebelum ke Olimpik. FOTO FB Nur Aisyah
NUR Aisyah perlu mencari pengalaman berlumba dengan pelumba terbaik dunia sebelum ke Olimpik. FOTO FB Nur Aisyah
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Berjaya habiskan perlumbaan juga boleh dianggap sebagai satu pencapaian. Itu pandangan diberikan legenda berbasikal negara, M Kumaresan mengenai pelumba lebuh raya wanita, Nur Aisyah Mohd Zubir yang bakal beraksi di Sukan Olimpik Paris tahun depan.

Menurut Kumaresan, Olimpik bakal menjadi medan buat Aisyah menghadapi pelumba terbaik dunia dan semua yang mengambil bahagian sudah tentu melakukan persiapan terbaik sebelum beraksi.

"Dia perlu mencari pengalaman berlumba dengan pelumba terbaik dunia sebelum ke Olimpik sebab macam-macam boleh berlaku seperti gementar, demam sebab melihat depan mata kehadiran jaguh berbasikal wanita," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujar Kumaresan, dapat menghabiskan perlumbaan pada 4 Ogos depan di Pont d'IĆ©na juga boleh dikira satu pencapaian terbaik buat Aisyah.

"Standard kita dengan perlumbaan handalan dunia masih jauh, biasanya sasaran kita hanya untuk menghabiskan perlumbaan dan ia boleh dianggap satu pencapaian tertinggi.

"Selalunya perlumbaan lebuh raya di Olimpik merangkumi 30 hingga 40 pusingan di tempat sama selain mempunyai satu atau dua pendakian sukar.

"Pusingan dibuat untuk memudahkan penonton menyaksikan perlumbaan di kawasan berkenaan dan disitulah pelumba pula akan mendaki bukit yang sama secara berulang sehingga menyebabkan rasa kepenatan," katanya.

Tambah Kumaresan, walaupun Aisyah akan beraksi keseorangan berbanding negara kuasa besar lain, ia juga bukan alasan untuk tidak mampu memberi saingan.

"Sasar dahulu mahu habiskan perlumbaan, kaji siapa pelumba yang kuat, kekal di dalam kelompok besar dan kalau rasa ada tenaga sama-sama melakukan breakaway bersama pelumba lain ketika berbaki satu atau dua lagi pusingan," katanya.

Bagi membolehkan Aisya dapat tampil dengan prestasi terbaik di temasya Olimpik Paris nanti, jurulatihnya, Amir Mustafa Rusli akan merangka strategi serta latihan terbaik buat pelumba negara itu.

Amir, dengan pengalaman pernah beraksi di Sukan Olimpik London 2012, senada dengan Kumaresan di mana Aisyah memerlukan lebih banyak pendedahan perlumbaan di peringkat tertinggi kerana ia perlu bersaing dengan pelumba terbaik seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 3:45 PM