SHARUL ketika beraksi di Sukan Asia Hangzhou, September lalu. FOTO ASYRAF HAMZAH
SHARUL ketika beraksi di Sukan Asia Hangzhou, September lalu. FOTO ASYRAF HAMZAH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Atlet gimnastik artistik negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam percaya mampu layak ke pentas Olimpik Paris tahun depan sekali gus tampil kali pertama pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Untuk memenuhi impian itu, Sharul berkata, dia perlu menyertai empat kejohanan Piala Dunia bermula Februari tahun depan dan sudah melakukan persiapan bermula sekarang.

"Ia adalah peluang terakhir saya untuk layak ke Olimpik. Saya perlu lakukan persediaan awal kerana ada sedikit kecederaan di tangan. Saya yakin dapat layak (ke Olimpik) tetapi ia juga bergantung kepada rezeki.

"Kalau tak silap, untuk layak ke Olimpik saya perlu memenangi pingat setiap kali beraksi di keempat-empat Piala Dunia itu. Barulah saya akan dapat mata dan layak ke Olimpik," katanya yang memberi fokus kepada acara melombol.

Empat Piala Dunia yang dimaksudnya itu adalah di Mesir, Cottbus (Jerman), Doha (Qatar) dan Baku (Azerbaijan).

Sementara itu, Sharul berkata, dia kekal fokus kepada kariernya selaku atlet gimnastik negara meskipun mendapat banyak tawaran selaku model serta berlakon.

"Fokus utama saya adalah berlatih. Untuk tawaran model itu saya lakukan pada hujung minggu tetapi bagi tawaran berlakon, saya tak ambil buat masa sekarang," katanya.

Pada Sukan Asia Hangzhou September lalu, Sharul melakar sejarah apabila berjaya menyumbangkan pingat gangsa buat kontinjen negara menerusi acara melombol.

Lebih menarik, dia menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo dari Korea Selatan, Shin Jea-hwan yang menamatkan cabaran di kedudukan keempat.

Kejayaannya itu menamatkan kemarau selama 17 tahun negara tanpa sebarang pingat dalam sukan gimnastik di temasya Sukan Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 5:36 PM