MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika sesi penggulungan di Sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika sesi penggulungan di Sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Saipul Adli Mohamad


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi jaminan akan menyelesaikan kemelut antara Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam masa terdekat.

Beliau mengakui tidak mahu salah faham ini menjejaskan keharmonian yang telah wujud.

"Pagi tadi, PJS (Suhardi Alias) mengeluarkan kenyataan beliau merasa kesal terhadap kenyataan susulan yang dikeluarkan.

"Saya meminta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mempengerusikan satu perbincangan dalam masa terdekat dengan segera bagi memastikan kita selesaikan ini secara aman kerana tidak dapat dinafikan kedua-dua badan ini amat penting.

"MOM penting untuk pembangunan sukan di Malaysia dan PJS memainkan peranan pentadbir untuk Akta Pembangunan Sukan dan saya perlu wujudkan satu sistem harmoni dalam ekosistem sukan.

"Saya percaya selama setahun ini, saya telah melaksanakan secara terbaik untuk mewujudkan sistem harmoni dan membabitkan semua pihak berkepentingan dalam membuat keputusan bersama," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Berlaku konflik antara PJS dan MOM apabila satu audio WhatsApp tersebar mengenai Suhardi mengeluarkan kata-kata ugutan sehingga ingin membatalkan pendaftaran MOM.

Kedua-dua pihak saling membalas kenyataan dan memerlukan campur tangan KBS untuk menjernihkan semula keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 9:33 PM