PRESIDEN MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. FOTO BERNAMA
PRESIDEN MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pesuruhjaya Sukan (PJS) seharusnya menjadi entiti 'putih' dengan tidak berburuk sangka kepada badan sukan lain seperti Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, PJS seharusnya menjadi pemerhati yang bagus dan baik, seterusnya tidak terlalu cepat membuat andaian hingga mengundang pelbagai isu berbangkit.

Beliau berkata, masalah yang ditimbulkan PJS bukanlah kecil atau remeh, sekali gus memerlukan campur tangan 'abang besar' seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjernihkan keadaan.

"Sudah beberapa tahun kita diiktiraf dengan mendapat lima bintang selain tatakelola adalah baik.

"Jangan ada buruk sangka kerana U (Pesuruhjaya Sukan (PJS) Suhardi Alias) baru pegang satu terus lompat kepada kesimpulan.

"Yang Berhormat Menteri (Hannah Yeoh) sudah membentuk keadaan yang harmoni. Kita mahu campur tangan Menteri kerana seseorang sepatutnya jadi 'neutral' dan putih," katanya ketika ditemui selepas menandatangani perjanjian persefahaman kem badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, hari ini.

Terdahulu, tular menerusi aplikasi WhatsApp klip audio berdurasi satu minit 20 saat memetik Suhardi mengugut membatalkan pendaftaran MOM.

Rakaman perbualan itu dipercayai dibuat ketika perjumpaan antara Suhardi dan dua kumpulan mewakili kelompok pucuk pimpinan e-sukan berhubung pendaftaran dan keahlian antarabangsa sebuah badan induk sukan berkenaan pada 14 November lalu.

Sementara itu, KBS bakal mengatur pertemuan bersama MOM susulan 'perang' antara PJS dengan badan induk itu.

Pejabat PJS dalam satu kenyataan mengesahkan perkara itu dan menyatakan pertemuan antara KBS dan MOM akan dilangsungkan dalam jangka masa terdekat.

"PJS menyatakan kekesalan atas kenyataan susulan yang telah dikeluarkan berikutan isu salah faham antara PJS dan MOM, baru-baru ini.

"Justeru, satu perjumpaan akan diaturkan antara KBS dan MOM dalam jangka masa terdekat untuk menjelaskan konteks sebenar perkara ini.

"KBS yakin dengan sesi perjumpaan ini, semua pihak akan mendapat pencerahan dan salah faham ini dapat diselesaikan secara baik," kata PJS dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 5:22 PM