SUHARDI yakin polis akan jalankan siasatan dengan cemerlang. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
SUHARDI yakin polis akan jalankan siasatan dengan cemerlang. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias meminta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk bertenang dan jangan melatah berhubung isu penyebaran rakaman audio perbincangan tertutup bersama Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) yang mencetuskan situasi tegang membabitkan kedua-dua pihak ketika ini.

Jelas Suhardi, beliau tidak mahu mengulas lanjut kenyataan terbaru MOM berhubung perkara berkenaan kerana kes itu sedang dalam siasatan pihak polis namun sedia mengadakan perbincangan lanjut dengan badan induk itu.

"Kita yakin polis akan jalankan siasatan dengan cemerlang. Selepas ini kita akan meredakan keadaan dan berikan satu waktu bertenang kepada semua pihak seterusnya panggil MOM untuk membincangkan mengenai perkara ini.

"Seterusnya kurangkan semua tekanan yang timbul hasil daripada penyebaran audio klip secara salah itu. Saya mohon semua pihak ambil iktibar daripada perkara yang berlaku.

"Penyebaran audio klip telefon pintar ini tertakluk kepada undang undang SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) Seksyen 233. Kita cuba elakkan daripada ambil tindakan sedemikian dan MOM sebagai badan induk perlu bertenang dan jangan melatah," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Simposium Kesedaran Perusahaan Sosial Sukan Kebangsaan yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub.

Jelas Suhardi, berdasarkan Piagam Olimpik, MOM perlu mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan dan perlu mematuhi undang-undang di negara ini termasuklah pembangunan akta Sukan 576.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib menerusi satu kenyataan hari ini mendesak Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk campur tangan dan menangani kebiadapan Suhardi yang tampak berterusan mengugut untuk mengambil tindakan terhadap MOM di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.

Jelas Nazifuddin, pucuk pimpinan MOM menyifatkan kenyataan terbaharu Suhardi semalam sebagai di luar bidang kuasa beliau, khususnya apabila menyentuh prestasi dan pencapaian atlet di bawah naungan persatuan sukan kebangsaan.

Terdahulu, Suhardi menerusi laporan semalam membuat laporan polis bagi memastikan pihak bertanggungjawab menyebarkan rakaman audio perbincangan tertutup beliau bersama Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dikenakan tindakan sewajarnya.

Suhardi percaya penyebaran audio separuh-separuh selepas perbincangan itu menyalahi perkara di bawah akta SKMM dan membangkitkan keresahan dalam kalangan ahli MOM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 3:38 PM