SUHARDI enggan mohon maaf dan kini buat laporan polis. -FOTO MSN
SUHARDI enggan mohon maaf dan kini buat laporan polis. -FOTO MSN
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias membuat laporan polis bagi memastikan pihak bertanggungjawab menyebarkan rakaman audio perbincangan tertutup beliau bersama Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dikenakan tindakan sewajarnya.

Menurut Suhardi, kandungan perbincangan tertutup itu tidak sepatutnya disebarkan kepada umum sehingga menimbulkan salah faham terutamanya perbualan yang berada di luar konteks.

"Saya mengadakan satu perjumpaan tertutup bersama Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) bertujuan mencari jalan pendamaian pada 14 November lalu.

"Sebagai makluman MESF adalah pertubuhan sah yang berdaftar dengan PJS manakala MEGA pula berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS)," katanya dalam satu kenyataan.

Ujar Suhardi, faktor utama adalah beliau mahu memberikan masa kepada MEGA untuk berbincang agar pertubuhan itu boleh menjadi ahli bersekutu MESF dalam mengakhiri kemelut pendaftaran dan keahlian antarabangsa antara kedua-dua persatuan sukan berkenaan.

"Saya percaya penyebaran audio separuh-separuh selepas perbincangan itu juga menyalahi perkara di bawah akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan membangkitkan keresahan dalam kalangan ahli Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Saya serahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab diambil tindakan sewajarnya," katanya.

Tambah Suhardi MOM tertakluk kepada Seksyen 8 dan 9 Akta Pembangunan Sukan (Akta 576).

"Ini bermaksud MOM juga tertakluk kepada akta ini yang mana peruntukan ini terpakai bagi badan sukan adalah sama terpakai bagi MOM dan sebutan mengenai badan sukan dalam peruntukan itu termasuk sebutan mengenai MOM.

"Saya juga ingin menasihatkan MOM supaya mematuhi semua peraturan dan akta berkenaan agar pembangunan sukan di bawah gabungannya dapat dipertingkatkan pada masa depan.

"MOM juga perlu akur kepada peruntukan undang-undang di bawah Akta 576 bahawa mereka tidak kebal dari tindakan undang-undang negara," katanya.

Mengenai cadangan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menuntut permohonan maaf, beliau berkata, ramai warga sukan berpendapat wajar kepimpinan badan induk bola sepak kebangsaan itu yang memohon maaf kepada ahlinya, MOM dan rakyat Malaysia kerana gagal mencapai sasaran emas yang dijanjikan di Sukan Sea Kemboja 2023 dan juga defisit kewangan yang dikatakan mencapai RM7 juta di dalam laporan kewangan badan itu.

"Ini membabitkan soal tata kelola kewangan yang baik, integriti dan akauntabiliti yang juga asas tadbir urus yang baik dalam sukan," katanya.

Dalam pada itu, Suhardi turut menggesa persatuan sukan seperti FAM dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memperbaiki reputasi persatuan mereka yang gagal mencapai sasaran di Sukan Sea Kemboja 2023,

"Mereka sepatutnya memperbaiki tadbir urus persatuan mereka dan mengelak daripada menyalahkan atlet serta jurulatih di sebalik kegagalan. Sukan di Malaysia tidak akan maju jika badan sukan dipimpin oleh orang tidak kompeten, tiada tatakelola yang baik, tidak memikirkan kebajikan atlet serta jurulatih, sombong dan angkuh.

"Memandangkan perkara ini akan menjadi siasatan pihak berkuasa, saya berharap semua pihak tidak lagi membuat kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan polis dan mengeruhkan keadaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 1:38 PM