HAMIDIN mahu konflik membabitkan PJS, MOM dapat diselesaikan segera. -FOTO NSTP
HAMIDIN mahu konflik membabitkan PJS, MOM dapat diselesaikan segera. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Hamidin Amin berharap konflik membabitkan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias yang dilaporkan mengancam MOM boleh diselesaikan secepat mungkin.

Menurutnya, PJS sebagai 'hakim' yang berperanan membuat keputusan membabitkan perundangan tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang disifatkan tidak adil dan mencetuskan kebimbangan MOM.

"Saya mewakili persatuan sukan rasa PJS seperti hakim kerana mereka (berperanan) untuk mengadili dan menyelesaikan konflik terutama dari segi legal term, jadi apabila mereka keluarkan kenyataan itu mereka dilihat sudah keluar dari sifat adil. Apatah lagi tohmahan itu dikeluarkan kepada MOM.

"Saya fikir perkara ini perlu diselesaikan, pihak PJS yang baru berdepan beberapa isu persatuan sukan dan mengeluarkan kenyataan itu saya kira mereka perlu perbetulkan," katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Deepavali MOM semalam.

Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp klip audio berdurasi satu minit 20 saat memetik Suhardi mengugut membatalkan pendaftaran MOM.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kemudian mengeluarkan kenyataan menuntut Suhardi menjelaskan keadaan sebenar memandangkan kenyataan dibuatnya disifatkan melampaui batas.

Suhardi Alias dikatakan akan mengambil tindakan laporan polis terhadap individu yang menyebarkan rakaman audio tanpa izin sehingga menimbulkan fitnah kepada pihaknya.

Menurutnya, perjumpaan tertutup yang diadakan pada 14 November lalu bersama Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) bertujuan mencari jalan pendamaian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 2:09 PM