SUHARDI Alias. FOTO MSN
SUHARDI Alias. FOTO MSN
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias akan mengambil tindakan laporan polis terhadap individu yang menyebarkan rakaman audio tanpa izin sehingga menimbulkan fitnah kepada pihaknya.

Menurutnya, perjumpaan tertutup yang diadakan pada 14 November lalu bersama Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) bertujuan mencari jalan pendamaian.

"MESF badan yang sah berdaftar dengan PJS manakala MEGA pula Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Disebabkan itu kita bagi masa kepada MEGA untuk berbincang agar mereka boleh menjadi ahli bersekutu MESF.

"Cuma saya rasa agak terkejut dan kesal dengan apa yg beraku salah faham diperingkat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di mana mesyuarat penyelarasan sukan e-sukan untuk meredakan kemelut antara persatuan sukan.

"Selepas kita melihat bahawa wujud penyebaran audio mesyuarat yang diadakan untuk menjernihkan keadaan itu, PJS berhasrat untuk melaporkan perkara ini khasnya mengenai data kebocoran di bawah akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Saya merasakan menjadi satu kesalahan menyebarkan audio perbincangan untuk tatapan umum bagi membangkitkan keresahan warga sukan dan kita akan serahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka," katanya yang ditemui di pejabatnya, hari ini.

Tambahnya, rakaman audio yang tersebar itu hanya sebahagian daripada intipati yang dibincangkan dan pihak yang tidak bertanggungjawab itu hanya memilih sesetengah bahagian sahaja dan menyebarkannya.

Terdahulu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah membidas Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias kerana mengeluarkan kata-kata ugutan sehingga ingin membatalkan pendaftaran mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 4:46 PM