MOM sedia ambil tindakan undang-undang terhadap PJS. -FOTO NSTP
MOM sedia ambil tindakan undang-undang terhadap PJS. -FOTO NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Melalui satu audio WhatsApp yang sedang tersebar, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membidas Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias kerana mengeluarkan kata-kata ugutan sehingga ingin membatalkan pendaftaran mereka.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, apa yang tersebar itu mencemari reputasi MOM apabila PJS menyamakan badan payung sukan negara itu dengan kerajaan Israel dalam konflik di Gaza, Palestin.

Disebabkan itu, pihaknya bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap PJS.

Jelas Norza, beliau sudah mengarahkan Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Mohd Najib, untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam mengemukakan bantahan terhadap tingkah laku sebegini, jika ia benar berlaku.

"Tindakan sedemikian adalah tindakan tidak wajar daripada PJS kerana status MOM selaku badan payung persatuan sukan kebangsaan dijamin dalam Akta Pembangunan Sukan 1997.

"Andai ia benar, melambangkan niat jahat daripada PJS. Walaupun MOM tidak berada dalam perjumpaan berkenaan ugutan itu dikeluarkan tanpa sebarang sebab.

"Kami tidak mahu membuat kesimpulan secara terburu-buru dan menuntut PJS menjelaskan keadaan disebabkan tindakannya boleh ditafsirkan sebagai melampaui batas," katanya yang tidak teragak-agak membawa perkara itu kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Terdahulu, menerusi audio berdurasi 1 minit 20 saat itu, perbualan yang berlaku itu seakan-akan berlaku bercanggah pendapat dan dilaporkan mengugut untuk membatalkan pendaftaran MOM dalam satu pertemuan dengan wakil eSukan pada 14 November lalu.

Antaranya berbunyi: "Kita batalkan MOM supaya dia boleh wakil negara lain.

"Sebab itu kuasa persuruhjayakan, saya batalkan MOM. Dia pergilah wakil negeri lain. Jadilah MOM negara lain. I think this issues kita mempunyai niat yang sama tetapi MOM pun.

"So batalkan MOM minta dia wakil Taiwan ke wakil mana mana ke. Pesuruhjaya sukan sebelum ini tidak berani, saya berani," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 11:53 AM