NANDINI (kanan) bersama pemenang pingat emas acara heptatlon Zheng Ninali dari China (tengah) dan Ekaterina Voronina dari Uzbekistan yang meraih perak.
NANDINI (kanan) bersama pemenang pingat emas acara heptatlon Zheng Ninali dari China (tengah) dan Ekaterina Voronina dari Uzbekistan yang meraih perak.
Agensi

Hangzhou: Kejayaan atlet heptatlon Nandini Agasara meraih pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou dibayangi dengan dakwaan tidak berasas daripada rakan senegaranya Swapna Barman.

Atlet muda India itu mencipta catatan peribadi terbaik apabila mengumpul 5712 mata dalam acara itu semalam dan di belakang Nandini ialah Swapna yang mencatat 5708 mata.

Namun sebelum bermula temasya, Swapna adalah harapan utama India untuk meraih pingat dan dijangka mencipta catatan lebih tinggi berbanding Nandini.

Tetapi selepas mengetahui dia terlepas gangsa kepada Nandini, Swapna yang meraih emas di temasya Palembang-Jakarta 2018 menuduh Nandini seorang transgender dan tidak layak bertanding.

Swapna melepaskan geramnya di media sosial dengan berkata: "Saya hilang pingat Sukan Asia kepada wanita transgender di Hangzhou.

"Saya mahu pingat saya balik kerana ia menyalahi peraturan atlet kami. Bantu dan sokonglah saya."

Dalam temu ramahnya dengan India Today, Swapna menegaskan peningkatan mendadak prestasi Nandini tidak mungkin hanya berlaku dalam tempoh empat bulan.

"Saya berlatih 13 tahun dan hanya kejayaan dicapai dengan bekerja keras. Tidak mungkin mencapai tahap seperti itu hanya dalam masa empat bulan, semua orang tahu itu."

Dakwaan Swapna itu dinafikan Nandini dan dia kesal dengan tuduhan tidak berasas itu yang membayangi kejayaannya.

Dalam kenyatannya kepada India Today, dia berkata: "Saya tahu diri saya. Minta dia tunjukkan bukti. Saya juga akan tunjukkan saya menang pingat untuk India. Saya cuma mahukan yang terbaik untuk negara.

"Saya mahu nikmati detik ini tetapi saya akan kembali ke India kerana ibu saya sedang sakit."

Nandini turut mempersoalkan tindakan Swapna yang menunggu selepas tamat acara untuk melemparkan tuduhan itu.

"Saya musykil dengan waktu tuduhan itu. Kenapa dia tidak menuduh lebih awal?" katanya.

"Adakah kerana saya dapat gangsa di atas kerja keras saya sehingga dia menuduh saya transgender. Ini sama sekali tidak adil."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 9:01 PM