Genting Highlands: Selepas lima tahun Le Tour de Langkawi (LTdL) tidak diadakan di Perlis, seorang peminat sukan berbasikal sanggup menempuh perjalanan hampir 300 kilometer (km) untuk menyaksikan perlumbaan berprestij itu, tahun ini.
Wan Shahzan Wan Hamid, 39, sanggup meninggalkan restoran miliknya di Kangar semata-mata mahu menyaksikan perlumbaan bertaraf Pro Series ketika penamat di Baling (peringkat ketiga) dan permulaan di Bukit Mertajam (peringkat keempat).
"Saya meninggalkan restoran kepada orang lain untuk tempoh dua tiga hari ini semata-mata mahu menyaksikan perlumbaan LTdL 2023," katanya yang mengusahakan restoran Bossku bersama keluarganya.
Bukan tahun ini sahaja Wan Shahzan mengambil peluang untuk menyaksikan perlumbaan LTdL, tahun lalu dia sanggup merentas Selat Melaka ke Pulau Langkawi untuk melihat sendiri pelumba tempatan dan antarabangsa bersaing di dua peringkat terakhir.
"Inilah peluang terbaik melihat mereka beraksi dengan lebih dekat terutama wakil negara yang bersaing bersama pelumba antarabangsa.
"Detik kemuncak tentunya ketika menuju garisan penamat dan sebagai peminat sukan berbasikal, saya tidak boleh melepaskan peluang ini tatkala ia diadakan di negeri jiran selepas kali terakhir memasuki Perlis pada 2018 (Kangar ke Kulim)," katanya yang turut memiliki sebuah basikal lebuh raya.
Tambah Wan Shahzan, kali ini dia datang menyaksikan perlumbaan LTdL bersama keluarganya dan boleh dikatakan sebagai misi serampang dua mata, menyaksikan perlumbaan sambil bercuti bersama anak serta isterinya.
"Mungkin saya akan meneruskan tradisi ini menyaksikan setiap perlumbaan LTdL ketika pelumba melalui laluan di sebelah utara termasuk di Pulau Langkawi," katanya yang menjadikan pelumba skuad kebangsaan, Muhammad Nur Aiman Rosli sebagai idola.