AKSI persahabatan antara Negeri Sembilan (jersi merah kuning) menentang ATM di Seremban, baru-baru ini. FOTO Ihsan Persatuan Ragbi Negeri Sembilan
AKSI persahabatan antara Negeri Sembilan (jersi merah kuning) menentang ATM di Seremban, baru-baru ini. FOTO Ihsan Persatuan Ragbi Negeri Sembilan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Tampil dengan wajah baharu, Negeri Sembilan sudah sedia untuk memberikan saingan sengit pada Kejohanan Ragbi Piala Agong 2023 dengan misi menamatkan penantian kejuaraan 20 tahun selepas kali terakhir merangkulnya pada 2003.

Pengurus pasukan, Mohsin Surim berkata, kali ini Negeri Sembilan diperkuatkan dengan empat pemain import dari Fiji iaitu Leveni Kurimalawai, Sireli Saketa Masi, Peniasi Damu Ragata dan Sikeli Qauqau.

Katanya, turut memperkuatkan pasukan ialah beberapa pemain kebangsaan antaranya Ali Imran Suhaimi, Addem Iman Putra Mad Baharuddin, Suhaikal Suhaimi dan Amirul Ramzan Ameer.

"Berbanding pada edisi tahun lalu, kali ini kita dapat membuat persiapan lebih rapi dan sempurna dengan membawa masuk empat pemain import dari Fiji selain beberapa pemain kebangsaan.

"Sasaran kami kali ini adalah untuk menamatkan penantian kejuaraan 20 tahun selepas kali terakhir Negeri Sembilan memenangi kejuaraan ini pada 2003.

"Saya yakin dan percaya dengan barisan baharu ini membabitkan ramai pemain muda, sasaran kejuaraan itu boleh dicapai meskipun menjangkakan cabaran kali ini dilihat lebih sengit berbanding tahun lalu," katanya di sini, hari ini.

Menurut Mohsin, pihaknya membuat persiapan selama enam bulan bagi mengumpulkan pemain dan memperkasakan pasukan. Bekas pemain Negeri Sembilan itu berkata, dua aksi persahabatan diadakan baru-baru ini iaitu menentang Melaka dan Angkatan Tentera Malaysia dengan keputusan yang memberangsangkan.

"Saya yakin dan percaya, barisan yang ada ini mampu menggalas cabaran pasukan dan berkeupayaan untuk melepasi halangan di peringkat kumpulan dan seterusnya.

"Apapun, saya akui laluan untuk ke separuh akhir bukan mudah kerana pasukan yang bersaing di Piala Agong mempunyai pengalaman tinggi mendepani cabaran kejuaraan berprestij ini.

"Kita akan fokus satu persatu perlawanan dan berharap pasukan dapat melepasi setiap halangan dengan baik," katanya.

Negeri Sembilan diletakkan dalam Kumpulan D bersama Terengganu dan Selangor dan bakal memulakan cabaran menentang Selangor di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan King George V Seremban, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 7:50 PM