HALIM (kiri) yakin pegawai Malaysia mampu menggalas dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. FOTO OWEE AH CHUN.
HALIM (kiri) yakin pegawai Malaysia mampu menggalas dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. FOTO OWEE AH CHUN.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) memberi pengiktirafan kepada Malaysia apabila melantik lima Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) dari negara ini untuk bertugas pada temasya Sukan Asia Hangzhou, China bermula 22 September sehingga 8 Oktober ini.

Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata, lantikan kesemua ITO itu adalah berlandaskan kepakaran dan pengalaman luas mereka dalam aspek teknikal di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Astaf amat yakin mereka mampu untuk menggalas dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan jayanya," kata Abdul Halim dalam satu kenyataan.

Kelima-lima ITO dari Malaysia yang dimaksudkan adalah Syed Azmir Syed Ahmad, Mohd Zubir Muhamad Shari, Dr Abdul Aziz Che Yaacob, Ghazali Marali dan Mohd Zamri Abdul Razak.

Jelas Abdul Halim lagi, lantikan kelima-lima individu berkenaan adalah satu pengiktirafan tertinggi terhadap Malaysia sebagai pelopor sukan sepak takraw dan salah satu kuasa besar sukan sepak takraw dunia.

"Pengiktirafan ke atas lantikan ITO amat tinggi ke atas Malaysia di mana dari Malaysia sahaja seramai lima orang berbanding Thailand hanya seramai empat orang walaupun negara Gajah Putih itu adalah kuasa besar sepak takraw dunia masa kini," katanya.

Menurut Abdul Halim lagi, kesemua ITO akan diberikan kemudahan penginapan bertaraf enam bintang di Hotel JW Marriot Jinhua, tiket penerbangan pergi balik, penyediaan, makanan tiga kali sehari dan bayaran elaun bertugas yang tinggi sebanyak RM7500 di sepanjang temasya berlangsung.

"Besar harapan Astaf agar kesemua ITO dari Malaysia dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi untuk memastikan perjalanan pertandingan sepak takraw di Sukan Asia China dalam keadaan baik dan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 4:27 PM