PASUKAN kriket wanita negara menentang Hong Kong pada jam 2.30 petang. FOTO Ihsan Persatuan Kriket Malaysia
PASUKAN kriket wanita negara menentang Hong Kong pada jam 2.30 petang. FOTO Ihsan Persatuan Kriket Malaysia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad kriket wanita akan membuka cabaran negara di temasya Sukan Asia Hangzhou berdepan Hong Kong dengan sasaran mara ke separuh akhir esok.

Pengurus pasukan kriket wanita, V Vijayalingam berkata, barisan pemain negara kini begitu bersemangat dan berharap dapat meraih kemenangan pertama.

Ia adalah penting untuk membuka peluang ke separuh akhir yang mana empat pasukan pilihan yang berada di ranking tertinggi dunia seperti India, Pakistan, Sri Lanka dan Bangladesh menanti di peringkat itu.

"Kita perlu menang ke atas Hong Kong dan mara ke pertemuan final pusingan kelayakan.

"Selepas itu akan beraksi di suku akhir yang mana pasukan empat gergasi dunia iaitu India, Pakistan, Sri Lanka dan Bangladesh sudah menunggu," kata Vijayalingam.

Berdasarkan undian, pasukan wanita negara menentang Hong Kong pada jam 2.30 petang, manakala satu lagi perlawanan pusingan kelayakan membabitkan Indonesia dan Mongolia yang dijangka berlangsung jam 9.30 pagi, di Padang Kriket Universiti Teknologi Zhejiang.

Mengikut ranking dunia, India memiliki pasukan terbaik T20 wanita di Asia yang berada di kedudukan keempat dunia, Pakistan (7), Sri Lanka (8), Bangladesh (9), Thailand (12), Indonesia (21), Hong Kong (22) dan Malaysia (27), bagaimanapun Thailand tidak mengambil bahagian pada edisi kali ini.

Pada Temasya Guangzhou 2010, Pakistan, Bangladesh dan Jepun masing-masing menang pingat emas, perak dan gangsa wanita.

Manakala di Temasya Incheon 2014, emas pasukan wanita dimenangi Pakistan, diikuti perak milik Bangladesh dan gangsa, Sri Lanka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 6:53 PM