KIM Fatt (tengah) bergambar bersama atlet skuad kriket wanita sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) pada Majlis Flag Off Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di Casa 4, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini. FOTO BERNAMA
KIM Fatt (tengah) bergambar bersama atlet skuad kriket wanita sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) pada Majlis Flag Off Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di Casa 4, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Biarpun sedar cabaran yang akan dihadapi, pasukan kriket wanita negara melaungkan semangat untuk tampil dengan aksi terbaik di temasya Sukan Asia, Hangzhou dengan sasaran mara ke separuh akhir.

Skuad kriket wanita negara yang sudahpun berlepas ke Hangzhou China hari ini, menjadi pasukan negara pertama yang akan mengibarkan cabaran dengan perlawanan pertama akan bermula Selasa ini berdepan, Hong Kong.

Kapten pasukan, Winifred Anne berkata, pengalaman ketika merangkul pingat perak ketika Sukan Sea Kemboja Mei lalu akan digunakan sebaik mungkin apabila turun beraksi di Hangzhou nanti.

Tampil dengan format T20, Winifred berkata, ia bukan satu masalah kerana dia yakin dengan semangat keseluruhan pemain yang begitu mendambakan pengalaman bermain dengan pasukan handalan dunia dalam sukan kriket seperti India, Pakistan dan Sri Lanka.

"Ketika di Sukan Sea lalu, kami bermain tiga format iaitu T20, T10 dan ODI 50 over tapi kali ini di Sukan Asia hanya akan bermain format T20. Jadi pengalaman di Sukan Sea lalu diharap dapat membantu kami dalam memberikan yang terbaik untuk negara.

"Apa yang saya pasti, kami akan berikan 100 peratus. Semua pemain pun begitu semangat dan tak sabar untuk beraksi," katanya ketika di temui pada sesi pelepasan kumpulan pertama kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou.

Sementara itu, Ketua Kontinjen, Datuk Chong Kim Fatt yang berangkat bersama-sama pasukan kriket ke Hangzhou berkata, beliau mengharapkan semangat juang yang tinggi daripada barisan pemain.

"Harapan saya kepada skuad kriket ini tiada yang lain 'fight for gold'. Usaha untuk dapatkan emas.

"Jaga diri dan jaga kesihatan sepanjang di Hangzhou dan selalu saya ingat akan untuk semua atlet menjaga diri kerana keadaan cuaca, budaya, makanan di sana berbeza. Makan makanan yang biasa anda semua makan supaya tiada masalah nanti," katanya.

Kim Fatt bersama 15 atlet kriket negara menjadi pasukan pertama berlepas ke Hangzhou dengan kontinjen terbesar atlet akan berlepas 21 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 2:29 PM