DJOKOVIC menayangkan kemeja T yang terpampang wajahnya bersama Bryant. FOTO AFP
DJOKOVIC menayangkan kemeja T yang terpampang wajahnya bersama Bryant. FOTO AFP
AFP

New York: Novak Djokovic memberi penghormatan kepada mendiang bintang bola keranjang, Kobe Bryant selepas dia memenangi gelaran Grand Slam ke-24 di Terbuka Amerika Syarikat (AS) dengan memakai baju 'Mamba Forever' semasa penyampaian trofi.

Djokovic menewaskan Daniil Medvedev 6-3, 7-6 (7/5), 6-3 untuk merangkul mahkota Terbuka AS keempatnya dan membalas dendam atas kekalahannya kepada pemain Rusia itu dua tahun lalu yang memusnahkan impiannya untuk melengkapkan Grand Slam dalam semusim.

Selepas itu Djokovic menayangkan kemeja T tertera gambarnya bersama Bryant - pemain bola keranjang yang hebat bersaing dengan nama panggilannya ialah 'Mamba'.

Di bahagian belakang pula tertera 24, nombor yang dipakai oleh ikon Los Angeles Lakers semasa kariernya di NBA.

Djokovic berkata Bryant, yang meninggal dunia dalam nahas helikopter tiga tahun lalu, membantunya melalui beberapa masa paling mencabar dalam kerjayanya - terutamanya ketika mengalami kecederaan siku pada 2017.

"Saya terfikir untuk melakukan kemeja T ini beberapa hari lalu," kata Djokovic.

"Saya tidak berkongsi dengan sesiapa pun. Kobe adalah kawan rapat saya, kami banyak berbual, mengenai mentaliti kemenangan.

"Ketika saya bergelut dengan kecederaan dan cuba untuk kembali ke puncak, dia adalah antara orang yang paling saya harapkan dia sentiasa ada untuk sokongan dengan cara yang paling mesra.

"Pemergiannya sangat menyakitkan saya dan 24 adalah jersi yang dipakainya di Lakers jadi saya fikir adalah baik untuk mengakuinya."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 11:58 AM