JOE Ee cipta kejutan merangkul dua pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022. FOTO BERNAMA
JOE Ee cipta kejutan merangkul dua pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Atlet gimrama negara, Ng Joe Ee mengharapkan 'tuah' berlatih di Baku, akan membuahkan hasil pada penampilan di Sukan Asia Hangzhou.

Gimnas berusia 17 tahun itu akan berlepas ke ibu kota Azerbaijan itu tidak lama lagi untuk menjalani latihan selama dua minggu sebelum bertanding di Sukan Hangzhou pada 6 dan 7 Oktober ini.

Kem latihan Baku pastinya akan menjadi faktor yang menggembirakan Joe Ee kerana ia adalah tempat yang sama dia pergi sebelum Sukan Komanwel Birmingham 2022, tahun lalu.

Selepas mengikut latihan di Baku, remaja itu mengejutkan penonton di Arena Birmingham dengan pencapaian cemerlangnya memenangi dua pingat emas dalam disiplin bola dan riben pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Kali ini, apabila dia menari mengikut rentaknya dalam acara all-around individu di Gimnasium Pusat Sukan Huanglong, Joe Ee berharap sekurang-kurangnya mara ke pusingan akhir memandangkan cabaran sukar daripada gimnas terbaik di benua Asia.

"Latihan Baku terutamanya untuk latihan siling tinggi kerana di Malaysia tiada pusat yang sesuai untuk melontar lebih tinggi untuk pergerakan.

"Saya perlu memberi tumpuan kepada latihan setiap minit di sana kerana bukan semua orang akan mendapat peluang ini...kali terakhir, saya berlatih lapan jam sehari di sana.

"Saya akan berlatih dengan gimnas negara mereka manakala hakim tempatan akan membantu menilai dan memperbetulkan rentak serta gaya persembahan saya.

"Paling penting ialah kekuatan mental saya kerana jika ia baik, maka prestasi dan tahap keyakinan saya akan lebih baik," katanya kepada pemberita selepas lawatan Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Chong Kim Fatt, ke sesi latihan gimnas negara, di sini, hari ini.

Joe Ee mengakui prestasinya kurang memberangsangkan dalam beberapa pertandingan sebelum ini selepas menukar kepada rutin yang sukar, namun berharap dapat menyerlah di Hangzhou.

Sementara itu, gimnas artistik lelaki negara, Muhammad Sharul Aimy, yang pulih daripada kecederaan buku lali kanan, turut berharap untuk layak ke pusingan akhir acara melombol.

"Saya baru berlatih semula sepenuh masa minggu ini dan mahu bebas daripada kecederaan menjelang dua minggu terakhir ini.

"Sasaran saya untuk ke final, kemudian beraksi sepenuh hati untuk memburu peluang meraih pingat," katanya.

Pertandingan gimnastik artistik dijadual dari 24 hingga 29 September ini.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam gimnastik Sukan Asia ialah pada edisi Doha 2006 menerusi Ng Shu Wai yang merangkul pingat perak acara vault lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 10:51 PM