SYDNEY McLaughlin. FOTO AFP
SYDNEY McLaughlin. FOTO AFP
AFP

Washington: Juara dunia dan Olimpik dalam acara 400 meter (m) lari berpagar wanita, Sydney McLaughlin terpaksa melupakan Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest minggu depan selepas mengalami kecederaan lutut.

Atlet Amerika Syarikat berusia 24 tahun itu yang mencipta rekod dunia 400m lari berpagar dengan 50.68 saat (s) pada tahun lalu mengesahkan perkara itu di laman sosial miliknya.

Katanya, dia mengalami kecederaan lutut dan tidak terpaksa menarik diri daripada menyertai kejohanan dunia itu.

"Saya sedih untuk berkongsi bahawa saya perlu menarik diri daripada perlumbaan di Kejohanan Dunia tahun ini di Budapest," tulisnya.

"Selepas berbincang dengan doktor dan jurulatih, saya perlu berehat bagi memulihkan kecederaan lutut supaya pulih dan bebas daripada kecederaan untuk bersaing di Sukan Olimpik Paris tahun depan.

"Saya tidak sabar untuk kembali ke balapan dan berlumba bersama pesaing lain tidak lama lagi," katanya.

Ketiadaan McLaughlin di Budapest bakal diisi seorang lagi pelari Amerika Syarikat, Lynna Irby-Jackson.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 1:52 PM