BOL lega kes doping ke atasnya digugurkan. FOTO Agensi
BOL lega kes doping ke atasnya digugurkan. FOTO Agensi
AFP

Sydney: Siasatan doping ke atas pelari Olimpik 800 meter (m) Australia, Peter Bol digugurkan dengan atlet larian jarak pertengahan itu menggelarnya sebagai 'mimpi menjadi kenyataan'.

Bol, yang terlepas gangsa apabila menamatkan saingan di tempat keempat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, didapati positif bahan Agonis Reseptor Erythropoietin (EPO) bahan terlarang untuk meningkatkan prestasi Januari lalu.

Dia digantung daripada semua pertandingan, tetapi analisis sampel B menyaksikan 'penemuan atipikal', bermakna ia tidak mengesahkan ujian asal.

Atlet kelahiran Sudan itu, yang sentiasa mengaku tidak bersalah, kini dibebaskan, dengan ujian lanjut di makmal bertauliah Agensi Anti-Doping Dunia (Wada) mengesahkan keputusan negatif

"Integriti Sukan Australia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan hukuman pelanggaran peraturan anti-doping bagi sampel berkenaan," kata agensi anti-doping itu.

Bol berkata dia 'dibebaskan' dan kini akan memberi tumpuan kepada Kejohanan Olahraga Dunia di Hungary akhir bulan ini.

"Ia adalah keputusan positif palsu seperti yang saya katakan selama ini," katanya.

"Berita daripada Integriti Sukan Australia bagai impian yang menjadi kenyataan. Tiada siapa yang sepatutnya mengalami apa yang saya lalui tahun ini."

Wada berkata ia berpuas hati bahawa Integriti Sukan Australai mengikuti semua proses yang berkenaan, tetapi akan menjalankan semakan.

"Walaupun kami tidak mempunyai sebab untuk mempersoalkan kesahihan kaedah analisis yang digunakan untuk EPO, Wada akan menilai proses semakan semasa berdasarkan pengkhususan kes ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 1:34 PM