STUART mahu atlet RTG tingkat prestasi bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou.
STUART mahu atlet RTG tingkat prestasi bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sukan Asia Hangzhou bulan depan bakal menjadi platfom penting buat atlet program Road To Gold (RTG) menampilkan aksi terbaik sekiranya mahu terus disenaraikan.

Menurut penyelaras program Datuk Stuart Ramalingam, prestasi atlet pada temasya itu akan dinilai secara mendalam, sebelum jawatankuasa RTG memutuskan untuk mengekalkan mereka.

"Saya nak mereka ingat RTG adalah program elit, konsistensi prestasi perkara penting dan menjadi kayu pengukur untuk mereka kekalkan status mereka dalam RTG," katanya di Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022 semalam.

Ujar Stuart, beliau berharap atlet boleh menampilkan persembahan baik, konsisten dan sedar tujuan sebenar program berkenaan selepas ini.

"Mungkin selepas Sukan Asia masa terbaik untuk membuat penilaian. Ada beberapa lagi sirkit badminton dan juga Sukan Asia. Jadi saya percaya, atlet badminton masih ada banyak kejohanan untuk disertai.

"Hoki pula penting di Sukan Asia. Memenangi emas sangat penting (untuk ke Paris 2024). Kami percaya hoki adalah adalah sukan bertaraf dunia.

"Kita percaya hoki akan menyokong keseluruhan kontinjen sekiranya mereka layak dan kita perlu sentiasa menyokong pasukan berprestasi dunia seperti hoki ini," katanya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan keputusan mengenai sama ada berlaku pertambahan atau pengguguran atlet dalam RTG hanya akan ditentukan selepas mesyuarat jawatankuasa program, bulan depan.

Hannah pada ketika itu berkata, mesyuarat akan turut membabitkan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Datuk Mirnawan Nawawi.

Sukan Asia Hangzhou dijadual membuka tirainya pada 23 September ini sehingga 8 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 3:34 PM