KASPER Asgreen muncul pemenang peringkat ke-18 saingan Tour de France. FOTO Twitter
KASPER Asgreen muncul pemenang peringkat ke-18 saingan Tour de France. FOTO Twitter
Reuters

Paris: Kejutan demi kejutan terus berlaku dalam saingan Tour de France kali ini apabila pelumba Soudal–Quick-Step, Kasper Asgreen memenangi peringkat ke-18 yang juga kemenangan pertamanya musim ini.

Asgreen, 28, terlebih dulu sampai ke garisan penamat selepas mengharungi perlumbaan sejauh 185 kilometer (km) yang bermula dari Moutiers untuk menuju ke Bourg En Bresse.

Jelas pelumba kelahiran Denmark itu, perlumbaan kali ini cukup memenatkan terutama selepas mengharungi peringkat paling mencabar pada Rabu lalu di mana kesemua pelumba terpaksa melalui pergunungan Alps, di barat Perancis.

"Jelas sekali keadaan cukup mencabar. Saya ingin kayuh lebih pantas dalam minggu terakhir saingan musim ini namun ia bukan mudah.

"Saya berjaya keluar daripada pelaton dan meninggalkan beberapa pelumba yang mahir dalam jarak dekat. Akhirnya saya berjaya melakukannya untuk memecut hingga ke garisan penamat," katanya.

Dalam saingan itu, pelumba dari Belanda, Pascal Eenkhoorn dan Jonas Abrahamsen dari Norway, masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga dibelakang Asgreen.

Juara bertahan Jonas Vingegaard dari Denmark mengekalkan jersi kuning sebagai pendahulu keseluruhan.

Secara keseluruhan, Vingegaard masih mendahului Tadej Pogacar dari Slovenia dengan kelebihan 7 minit 35 saat, dengan pelumba Britain iaitu Adam Yates di tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 9:03 AM