AZEEM bakal beraksi di Bangkok minggu ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
AZEEM bakal beraksi di Bangkok minggu ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand mampu memberi ruang dan peluang buat jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi menilai siapa pencabarnya di Sukan Asia Hangzhou, September ini.

Pemenang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu mengakui teruja dapat bersaing dengan pelari yang memiliki catatan masa bawa 10s dan pengalaman di sepanjang berkelana di Amerika Syarikat (AS) diharapkan dapat membantunya untuk bersaing dengan pelari yang lebih senior di ATF nanti.

Pelajar Universiti Auburn AS itu juga tahu cabaran yang akan dilaluinya di ATF nanti bukan mudah namun dia sudah bersedia untuk bersaing dengan mereka yang lebih senior.

"Semua orang tahu pertandingan yang saya lalui di sana (AS) sangat kompetitif. Saya rasa benda itu akan membantu saya lebih bersedia bersaing di peringkat senior.

"ATF nanti adalah kejohanan pertama saya dalam kategori senior selepas Sukan Sea lalu, saya rasa tak ada masalah berlari dengan mereka.

"Yang penting untuk kejohanan ini saya nak 'enjoy' perlumbaan dan nak lihat siapa lawan saya di sukan Asia nanti," katanya.

Tegas Azeem yang berusia 19 tahun, ATF adalah kejohanan terbesar di peringkat Asia dan siapa lawan di ATF nanti adalah mereka yang sama akan berlari di Sukan Asia.

"Ini adalah tanda aras untuk saya menilai prestasi saya. "Ketika ini saya berkedudukan keempat terpantas di Asia dan mereka yang berada di atas saya semuanya pelari senior tapi catatan mereka tak jauh dengan saya.

"Saya yakin dengan diri saya dan apa yang saya mampu buat untuk kejohanan ini," katanya.

Azeem yang menjadikan pangkalan latihan di AS, mencatat masa terbaik 10.11s di Kejohanan SEC Outdoors 2023, catatan masa terbaiknya ketika ini.

Dia dijangka menerima tentangan dari Yupun Abeykoon dari Sri Lanka yang kini memegang status nombor satu Asia tahun lalu dengan catatan 9.96s manakala Abdul Hakim Sani Brown (Jepun) di kedudukan kedua, 9.98s.

Seorang lagi atlet Jepun, Ryuichiro Sakai berada di kedudukan ketiga dengan catatan 10.02s.

Di Bangkok, Azeem akan beraksi dalam acara 100m dan 4x100m bersama Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Muhammad Thaqif Hisham.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 3:47 PM