ALCARAZ di landasan terbaik rangkul kejuaraan Wimbledon. FOTO AFP
ALCARAZ di landasan terbaik rangkul kejuaraan Wimbledon. FOTO AFP
Reuters

London: Novak Djokovic dan Carlos Alcaraz kekal di landasan terbaik di Wimbledon dengan meraih kemenangan di pusingan keempat, manakala Elena Rybakina dan Ons Jebeur mengulangi aksi perlawanan akhir tahun lalu.

Penyandang juara, Djokovic melepaskan set buat kali pertama dalam kejohanan ini ketika berdepan pemain Poland, Hubert Hurkacz.

Pemain berusia 36 tahun itu mencatat kemenangan 7-6(6) 7-6(6) 5-7 6-4 dalam perlawanan ke-100 dalam kejohanan berkenaan.

Pemain nombor satu dunia dan juga pilihan utama, Alcaraz juga melepaskan satu set namun bangkit untuk mengalahkan bekas naib juara dari Itali, Matteo Berrettini 3-6, 6-3, 6-3, 6-3.

Alcaraz akan berdepan pemain yang seusia dengannya, 20 tahun, Holger Rune esok sekali gus menjadikan pertemuan suku akhir termuda Wimbledon dalam era profesional.

Juara tujuh kali, Djokovic pula akan beraksi di suku akhir Grand Slam buat kali ke-56 menentang pilihan ketujuh dari Rusia, Andrey Rublev.

Djokovic, yang memburu kejuaraan kelima berturut-turut, meraih kemenangan kali ke-32 berturut-turut di Wimbledon dan kini tidak pernah tewas di Centre Court selama sedekad.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Serbia itu berkata dia tidak seronok berdepan Hurkacz yang hebat dari segi servis membuatkan dia tidak berdaya pada satu ketika.

"Dia mempamerkan persembahan yang hebat," kata Djokovic yang lega, selepas dapat menahan 33 servis ace daripada Hurkacz.

"Saya tidak ingat kali terakhir saya merasakan kesukaran ini kerana servisnya sangat tepat dan kuat."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 8:31 AM