SKUAD berbasikal para negara terdiri Mohamad Yusof Hafizi, Zuhairi Ahmad Tarmizi dan Hafiz Jamali memenangi pingat perak dalam acara pecut campuran para pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Velodrom Nasional, Rabu lalu. FOTO AZRUL EDHAM
SKUAD berbasikal para negara terdiri Mohamad Yusof Hafizi, Zuhairi Ahmad Tarmizi dan Hafiz Jamali memenangi pingat perak dalam acara pecut campuran para pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Velodrom Nasional, Rabu lalu. FOTO AZRUL EDHAM
Zulkarnain Azman


Nilai: Impian skuad berbasikal paralimpik negara untuk meraih lima slot ke Sukan Paralimpik Paris 2024 bakal terjejas sekiranya tidak menyertai kejohanan yang mencukupi pada tahun ini.

Kerisauan itu disuarakan jurulatih berbasikal trek para negara, Sallehudin Mohd Noh susulan pasukannya hanya dibenarkan menyertai satu sahaja daripada tiga saingan Piala Dunia yang ditawarkan pada tahun ini iaitu di Ostend, Belgium yang berlangsung dari 4 hingga 7 Mei lalu.

"Tahun ini tahun yang penting untuk pertambahan kutipan mata dan Kejohanan Dunia adalah kejohanan penting untuk kita kekalkan slot yang diperuntukkan untuk kita pada tahun lalu.

"Slot itu diberikan kepada kita menerusi kuota Asia, yang memperuntukkan tujuh slot bagi kategori lelaki dan empat bagi kategori wanita.

"Kita sasarkan untuk dapat tiga slot lelaki, dan dua wanita, jadi bila kita tak sertai saingan Piala Dunia di Amerika Syarikat tempohari agak merugikan kerana kita boleh tambah pungutan mata ranking," katanya.

Menerusi peruntukkan oleh pihak Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Malaysia sudah berjaya memperoleh dua slot, masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita.

Di Paralimpik Tokyo 2020, Malaysia berjaya meraih empat slot dengan mempertaruhkan Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin, Muhammad Hafiz Jamali, Zuhairie Ahmad Tarmizi serta Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama jurumudinya, Nurul Suhada Zainal dalam kategori wanita.

Yusof yang beraksi dalam acara lebuhraya kategori C1 menjadi atlet terbaik skuad berbasikal para di temasya itu apabila menduduki tempat kelima daripada 11 orang pelumba ketika perlumbaan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 8:12 PM