TANGKAP layar video menunjukkan detik lawan menendang kepala mangsa sebelum dia tumbang dan tidak sedarkan diri. FOTO AGENSI
TANGKAP layar video menunjukkan detik lawan menendang kepala mangsa sebelum dia tumbang dan tidak sedarkan diri. FOTO AGENSI
Agensi

London: Seorang prospek pertarungan seni bela diri campuran (MMA) berusia 16 tahun meninggal dunia dengan tragis apabila ditendang di kepala.

Insiden berlaku selepas remaja itu dilaporkan dibenarkan memasuki gelanggang tanpa perlindungan kepala oleh pengadil pertandingan.

Remaja berusia 16 tahun itu bertanding dalam saingan Piala MMA Terbuka di Kelab Sukan Rodina.

Berdasarkan peraturan di Russia, semua peserta di bawah umur harus memakai perlindungan kepala untuk menyertai pertandingan.

Peraturan itu menerangkan remaja 16 hingga 18 tahun dalam saingan amatur MMA di kawasan berkenaan perlu memakai perlindungan kepala.

Namun, laporan mendakwa remaja lelaki itu dibenarkan bertarung tanpa menggunakan perlindungan kepala.

Rakaman video dalam talian menunjukkan detik lawan menendang di kepala mangsa sebelum dia tumbang dan tidak sedarkan diri.

Dia didakwa meninggal dunia ketika dalam ambulans menuju ke hospital selain terdapat laporan berbeza yang menyatakan berkemungkinan mangsa menghembuskan nafas terakhirnya di hospital sewaktu dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Kesatuan MMA Russia dan pihak siasatan akan meneliti situasi itu untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

Pengguna media sosial bersimpati dengan kejadian menimpa remaja itu serta keluarganya.

"Ia sangat menyedihkan," kata salah satu hantaran di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 12:30 PM