AKSI antara skuad bola keranjang kerusi roda negara dan Thailand. FOTO Bernama
AKSI antara skuad bola keranjang kerusi roda negara dan Thailand. FOTO Bernama
BERNAMA

Phnom Penh: Skuad bola keranjang berkerusi roda mahu memastikan mereka sekurang-kurangnya mampu membawa pulang pingat gangsa menerusi acara 3x3 lelaki pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023, di sini, esok.

Jurulatih pasukan, Lim Ming Lip berkata, Malaysia yang akan melakukan perhitungan dengan pasukan tuan rumah, perlu mempamerkan aksi berani di hadapan penyokong lawan bagi memastikan magis terhasil di bumi Kemboja.

"Corak permainan pemain pada peringkat kumpulan hari ini adalah di bawah tekanan mungkin disebabkan ada pemain baharu. Mereka juga melakukan beberapa kesilapan namun masih boleh diperbaiki.

"Strategi esok pastinya akan berubah sebab kita sudah berjumpa dengan Kemboja pada peringkat kumpulan hari ini jadi mereka sudah boleh baca (cara permainan Malaysia) dan barisan pemain juga mungkin berubah," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Malaysia memenangi dua daripada empat perlawanan peringkat kumpulan hari ini selepas menewaskan Kemboja dengan catatan 12-6 dan Indonesia menerusi penentuan sudden death 2-0.

Namun, kontinjen para negara terpaksa akur apabila ditewaskan Thailand dengan rekod 18-12 dan Filipina 8-7 sekali gus menamatkan saingan di tangga ketiga bagi peringkat kumpulan.

Thailand pula akan bertemu Filipina dalam penentuan juara dan naib juara, esok.

Pencapaian terbaik Malaysia bagi acara bola keranjang berkerusi roda 3x3 lelaki ialah memenangi pingat perak pada APG kesembilan di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 10:25 PM