NUR Azmi harap penubuhan HLC ini dapat menyaksikan pasukan tempur dipertandingkan di MSSM buat kali pertama. FOTO OWEE AH CHUN
NUR Azmi harap penubuhan HLC ini dapat menyaksikan pasukan tempur dipertandingkan di MSSM buat kali pertama. FOTO OWEE AH CHUN
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Langkah penubuhan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) dilihat tepat pada masanya dalam melahirkan bakat-bakat baharu terutamanya dalam sukan tempur.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad berpandangan penubuhan HLC itu dilihat bakal membuka jalan untuk sukan tempur dipertandingkan di kejohanan Majlis Sukan-Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) buat kali pertama.

Jelas Nur Azmi, sekiranya sukan tempur disenaraikan dalam kejohanan MSSM ikan secara tidak langsung bakal menarik lebih ramai pelajar untuk menyertai sukan itu sekali gus mampu untuk melahirkan bakat-bakat baharu yang lebih hebat.

"Saya menyambut baik penubuhan HLC. Sebab dengan adanya jawatankuasa itu ia secara tidak langsung akan membuatkan sukan tempur dipertandingkan buat kali pertama di kejohanan MSSM.

"Sebenarnya perkara ini sudah lama dibawa saya dalam mesyuarat di peringkat MOM (Majlis Olimpik Malaysia yang aman Kementerian Pendidikan Malaysia ada bersama. Tapi tindakan itu perlahan.

"Hal ini kerana KPM ini dia ada akta yang tersendiri yang mana kalau sesuatu sukan nak masuk MSSM kena bawa dalam mesyuarat tertinggi KPM.

"Sebab kalau kita nak cungkil bakat baharu ia kena bermula dari sekolah. Jadi saya harap penubuhan HLC ini dapat menyaksikan pasukan tempur dipertandingkan di MSSM buat kali pertama," katanya kepada Arena Metro.

Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) mengumumkan penubuhan HLC dengan objektif utama memastikan negara tidak ketinggalan dan seiring dengan negara mempunyai pembangunan sukan maju khususnya dalam sukan yang banyak menawarkan pingat iaitu tempur, renang dan olahraga.

HLC katanya, akan memberi tumpuan kepada model pembangunan bakat bagi sukan tempur, olahraga dan renang dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan KPM.

Selain Nur Azmi, turut menyambut baik penubuhan HLC adalah presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau yang juga Presiden Persekutuan Renang Malaysia berpandangan penubuhan HLC itu mampu untuk mengembalikan era kegemilangan kedua-dua sukan itu buat Malaysia di peringkat Asia Tenggara.

"Kami terima apa sahaja jawatankuasa yang ditubuhkan tetapi apa yang penting sumber kewangan untuk tujuan pembangunan dan pertandingan.

"Sebab atlet kita yang berlatih perlukan pertandingan di peringkat antarabangsa. Meskipun ada pertandingan di peringkat kebangsaan pendedahan di antarabangsa penting untuk membolehkan mereka terbabit dengan Sukan Sea , Sukan Asia, Komanwel seterusnya di Olimpik," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 4:46 PM