GARBINE juara Wimbledon 2017.
GARBINE juara Wimbledon 2017.
Agensi

London: Bekas juara Wimbledon Garbine Muguruza mengumumkan dia akan berkahwin dengan peminat yang berswafoto dengannya di tepi jalan.

Bintang tenis berusia 29 tahun itu bakal mengahwini teman lelakinya yang dikenali hampir dua tahun, model Arthur Borges yang mempunyai 10,200 pengikut di Instagram.

Juara Wimbledon 2017 itu bertemu dengan Borges ketika dia mahu berswafoto dengan Garbine di New York City, Amerika Syarikat (AS) pada Ogos 2021.

Bekas pemain nombor satu dunia WTA itu berkata kepada media AS: "Hotel saya berhampiran Central Park dan ketika bosan saya bercadang mengambil angin sekitar hotel.

"Saya keluar dan berjalan-jalan. Ketika itu tampil Borges yang mengenali saya dan berkata. 'Semoga berjaya di Terbuka AS'. Dalam hati saya terdetik dia sangat kacak."

Bintang tenis Sepanyol itu mendedahkan dia dan Borges kemudiannya kerap bertemu di Central Park dan selepas hubungan bertambah rapat, Borges melamarnya di Marbella, Sepanyol.

Pemain kelahiran Venezuela itu berkata majlis perkahwinan mereka akan berlangsung berhampiran pantai di Sepanyol tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 10:53 PM