ALCARAZ semakin hampir muncul juara Terbuka Madrid. FOTO AFP
ALCARAZ semakin hampir muncul juara Terbuka Madrid. FOTO AFP
Reuters

Madrid: Penyandang juara, Carlos Alcaraz meraikan sambutan hari jadi ke-20 dengan mara ke final Terbuka Madrid selepas menang 6-4, 6-3 ke atas Borna Coric untuk berada di landasan terbaik meraih kejuaraan kali keempat musim ini.

Dalam saingan akhir, pilihan utama dari Sepanyol itu akan berdepan, Jan-Lennard Struff yang mengalahkan pemain dari pusingan kelayakan, Aslan Karatsev 4-6, 6-3, 6-4 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

"Ia sangat bermakna buat saya, beraksi di final sekali lagi di Madrid. Ia tempat yang istimewa buat saya. Saya meraih pelbagai saat indah sejak datang ke sini beraksi untuk kejohanan bawah 12 tahun.

"Tahun lalu ia sangat mengagumkan. Saya akan menikmati perlawanan akhir dan cuba menggembirakan seluruh rakyat Sepanyol. Saya tidak fikir tekanan di sini. Saya hanya berfikir bermain perlawanan yang hebat dan mendapat keputusan yang baik. Saya menikmati setiap detik di sini."

Alcaraz menikmati permulaan yang menakjubkan dalam kariernya, menjadi pemain termuda menduduki ranking teratas dunia selepas kemenangan Terbuka Amerika Syarikat September lalu dan sudah merangkul tiga gelaran Masters 1000 ketika remaja.

Dia mengorak langkah meraih satu lagi mahkota Masters dan membuktikan kelayakannya sebagai salah satu juara pilihan untuk Terbuka Perancis bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 9:40 AM