AHAMD Faiz (kiri) bersama Bilal (tengah)  pada sidang media baru-baru ini.
AHAMD Faiz (kiri) bersama Bilal (tengah) pada sidang media baru-baru ini.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kapten skuad kriket negara, Ahmad Faiz Mohammad Noor menegaskan dia serta rakan sepasukan sudah bersedia memenuhi sasaran 'cukup berani' untuk merangkul tiga pingat emas pada temasya Sukan Sea Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei ini.

Meskipun ia dilihat seperti sekadar meraih populariti, Ahmad Faiz yang sudah mempunyai pengalaman luas beraksi bersama skuad negara yakin sasaran ditetapkan oleh Persatuan Kriket Malaysia dan ketua jurulatih, Bilal Asad itu mampu dicapai.

"Saya rasa bagi pihak pemain, kami sudah melakukan persediaan sangat rapi. Kalau diikutkan, sejak Jun tahun lalu, iaitu apabila dapat beraksi semula ke luar negara, intensiti permainan kami semakin tinggi.

"Jadi kalau ikut persediaan, saya yakin kami mampu dapatkan sasaran tiga emas itu. Kami sudah dapat keputusan memberangsangkan dari sudut perlawanan lebih tinggi seperti di Hong Kong.

"Sebab itulah saya yakin barisan pemain negara sudah bersedia untuk turun beraksi di Phnom Penh dan berusaha dapatkan tiga emas," katanya.

Kali pertama dan terakhir kriket dipertandingkan di temasya sukan itu di Kuala Lumpur pada 2017 yang menyaksikan skuad negara meraih satu emas berbanding dua yang disasarkan.

"Ketika itu penampilan pertama skuad kriket Malaysia di Sukan Sea, jadi kami tak faham lagi struktur permainan di temasya ini. Tapi kali ini, ia peluang keemasan kami untuk memenuhi sasaran tiga emas.

"Sebab jika melihat kepada prestasi dan ranking semasa, kita adalah pasukan pilihan. Tapi kami tidak mahu ambil mudah cabaran daripada setiap lawan," katanya.

Tiga emas yang disasarkan itu menerusi pasukan lelaki dalam acara T10, T20 dan 50 over dengan Singapura dilihat sebagai pencabar utama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 1:19 PM