ALCARAZ berjaya meraih kejuaraan Terbuka Barcelona 2023. FOTO AFP
ALCARAZ berjaya meraih kejuaraan Terbuka Barcelona 2023. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Carlos Alcaraz mengakui dia bukan pengganti Rafael Nadal selepas bintang muda itu mempertahankan gelaran Terbuka Barcelona yang memberi gambaran dia kini dalam pemburuan gelaran Terbuka Perancis.

Pemain berusia 19 tahun itu mengenepikan Stefanos Tsitsipas 6-3, 6-4 bagi menambah koleksi trofi Barcelona termasuk di Buenos Aires dan Indian Wells pada 2023 dan kini mempunyai sembilan gelaran dalam kariernya.

Dengan juara 14 kali Terbuka Perancis, Nadal bergelut sejak Januari kerana kecederaan pinggul dan pemain nombor satu dunia dan juara dua kali Roland Garros, Novak Djokovic masih belum pulih cedera siku, Alcaraz mengukuhkan kedudukannya sebagai pencabar utama.

Bagaimanapun, dia pantas menolak spekulasi yang dirinya berada dalam 'senarai menunggu' bagi gelaran Terbuka Perancis dengan kejohanan kedua utama tahun ini hanya berbaki lima minggu saja lagi di Paris.

"Saya tidak mahu menjadi pengganti kepada sesiapa," kata pemain nombor dua dunia, Alcaraz menjelaskan mengenai statusnya sebagai pengganti Nadal yang berusia 37 tahun pada Jun ini.

Nadal tidak turun ke gelanggang sejak tersingkir di pusingan kedua Terbuka Australia dan dia terlepas aksi Masters di Indian Wells, Miami dan Monte Carlo termasuk di Barcelona untuk tahun kedua berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 1:18 PM