BILAL (tengah) bersama Ahmad Faiz (kiri) pada sidang media hari ini.
BILAL (tengah) bersama Ahmad Faiz (kiri) pada sidang media hari ini.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pasukan kriket lelaki negara yakin dapat mencapai sasaran tiga pingat emas pada temasya Sukan Sea Kemboja bermula 5 sehingga 17 Mei ini.

Ketua jurulatih kriket negara, Bilal Asad berkata, beliau serta barisan pemainnya tidak mempunyai sasaran lain selain tiga emas itu dan mereka perlu mencapainya di Kemboja nanti.

Jelas Bilal, tiga emas disasarkan itu menerusi pasukan lelaki dalam acara T10, T20 dan 50 over, sekali gus cuba mengatasi pencapaian pada temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 yang menyaksikan pasukan negara meraih satu emas sebelum kriket tidak dipertandingkan pada dua temasya selepas itu.

"Kami sudah menjalani latihan antara dua hingga tiga tahun lalu dengan menyertai banyak kejohanan domestik serta antarabangsa dan mempunyai barisan pemain berpengalaman.

"Contohya, kapten pasukan, Ahmad Faiz (Mohammad Noor) sudah mempunyai pengalaman beraksi kira-kira 10 tahun. Penolong kapten mempunyai pengalaman antara tujuh hingga lapan tahun dan kami turut dibarisi beberapa pemain muda yang begitu dahagakan kejayaan.

"Secara keseluruhan, saya sentiasa percaya kepada proses dan kami sudah bersedia berdepan mana-mana pencabar," katanya pada sidang media, hari ini.

Jelas Bilal, beliau cukup yakin Malaysia mampu meraih tiga emas selepas melihat kepada kekuatan pencabar lain di temasya dwi tahunan itu.

Katanya, Singapura mungkin mampu memberi cabaran, tetapi pemain negara menewaskan mereka dalam beberapa pertemuan sebelum ini.

"Saya sangat yakin kami mampu mencapai sasaran tiga pingat emas dan percaya kepada pasukan ini apabila bersama mereka sejak 2012 sehingga 2018.

"Saya kembali bersama pasukan pada Disember 2019 dan sebab utama saya kembali adalah percaya pasukan ini mampu melangkah jauh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 6:26 PM