ALCARAZ menjulang trofi kejuaraan Terbuka Argentina. -FOTO EPA
ALCARAZ menjulang trofi kejuaraan Terbuka Argentina. -FOTO EPA
AFP

Buenos Aires: Carlos Alcaraz yang kembali beraksi buat kali pertama dalam tempoh hampir empat bulan mencipta sensasi apabila merangkul kejuaraan di Terbuka Argentina selepas menewaskan Cameron Norrie 6-3, 7-5.

Ia adalah kejuaraan ketujuh dalam karier pemain Sepanyol berusia 19 tahun itu dan yang pertama sejak dia memenangi Terbuka AS pada September lalu sebelum muncul pemain nombor satu termuda dunia.

"Saya berasa sangat selesa bermain perlawanan akhir," kata Alcaraz.

"Saya tahu bahawa ia akan menjadi sangat sukar. Saya fokus pada apa yang saya perlu lakukan pada mulanya, permainan saya, tahap saya. Ini adalah tahap permainan yang saya perlu lakukan di peringkat akhir."

Kecederaan otot koyak di bahagian kaki ketika menyertai Paris Masters pada November lalu menyaksikan Alcaraz terlepas aksi pembukaan musim ini, termasuk Terbuka Australia yang dimenangi oleh Novak Djokovic. Dia juga kehilangan ranking teratasnya kepada pemain Serbia itu.

Pemain nombor dua dunia, Alcaraz melebarkan rekod kemenangan ke atas Norrie yang kini berada di ranking ke-12 kepada 4-1 hasil kemenangannya selama 93 minit semalam.

Alcaraz adalah pemain Sepanyol pertama memenangi gelaran di Buenos Aires sejak Rafael Nadal pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 12:44 PM