AIMAN berjaya memenangi gelaran Raja Bukit di peringkat kedua Jelajah Sharjah. FOTO Agensi
AIMAN berjaya memenangi gelaran Raja Bukit di peringkat kedua Jelajah Sharjah. FOTO Agensi
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Aiman Cahyadi berjaya meraih gelaran Raja Bukit pada peringkat kedua Jelajah Sharjah dari Sharjah ke Al-Badayer, hari ini.

Pada perlumbaan sejauh 130.7 kilometer (km) hari ini, Aiman tampil cemerlang selepas menakluk zon pendakian yang ditawarkan dalam laluan itu.

"Alhamdulillah untuk peringkat hari ini, semua pegawai pasukan telah melakukan kerja dengan baik termasuk rakan sepasukan.

"Perlumbaan hari ini agak bahaya, kerana ramai pelumba amatur gagal menunggang dengan baik.

"Malah pada 10km terakhir, Irwandy mengalami kemalangan, manakala saya, Acik dan Shahrul berjaya menamatkan perlumbaan bersama,"katanya.

Untuk rekod, pada peringkat pertama saingan ujian masa individu semalam, Aiman berjaya menduduki tempat ke-33 mengatasi pelumba TSG yang lain.

Perlumbaan peringkat kedua Jelajah Sharjah dimenangi pelumba dari Dubai Police Cycling, Hamza Yacine manakala tempat kedua dimenangi rakan sepasukannya, Saidi Nassim yang berjaya memenangi jersi kuning.

Tempat ketiga dimenangi Bole Grega dari Slovenia yang mewakili pasukan Shabab Al Ahli Cycling Team.

Perlumbaan peringkat ketiga Jelajah Al Sharjah akan bersambung semula esok dengan melibatkan laluan Dibba Al-Hisn ke Wadi al Helo sejauh 117.8km.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 10:01 PM