MIKE mahu terus harumkan nama negara. -FOTO NSTP
MIKE mahu terus harumkan nama negara. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jaguh bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah kemungkinan besar menangguhkan hajat untuk bersara pada musim 2023 apabila khidmatnya untuk menyertai beberapa kejohanan besar masih lagi diperlukan.

Mohd Syarul Azman atau lebih dikenali sebagai Mike berkata, dia mungkin akan menyertai Sukan Sea Kemboja pada Mei ini dalam usaha membantu Malaysia meraih lebih banyak pingat emas dalam temasya terbabit.

Katanya, dia bersedia untuk mengulangi pencapaian emas dengan kali ini pihak penganjur Kemboja mempertandingkan kategori 'darah dagingnya' iaitu 'athletic physique'.

"Ia masih dalam fikiran lagi (persaraan) kerana pihak persatuan kata mereka masih memerlukan khidmat saya. Saya fikir saya nak kembali memenangi emas kerana di Vietnam lalu, yang dipertandingkan adalah kategori terbuka dan kali ini di Kemboja, kategori saya.

"Sudah pasti KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN (Majlis Sukan Negara) akan mengharapkan saya kerana saya juara lima kali dunia dalam kategori berkenaan. Saya akan cuba (sekiranya dipilih) dan selepas itu terserah (bersara ataupun tidak)," katanya.

Awal bulan lalu, Mike menutup kalendar 2022 dengan pencapaian positif apabila merangkul gelaran juara buat kali kelima pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia yang berlangsung di Phuket, Thailand.

Sebelum ini atlet berusia 49 tahun itu meraih gelaran dunia pada tahun 2016, 2017, 2018 dan 2019 sebelum kejohanan dunia terpaksa dibatalkan akibat pandemik Covid-19 pada 2020. Mike selepas itu terlepas gelaran pada edisi 2021.

Pada Julai tahun lalu, Mike tidak berjaya mempertahankan gelaran keenam di peringkat Asia di Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia yang berlangsung di Maldives dan kejayaan diraih di peringkat dunia bulan lalu, jelas melegakan dirinya.

Selain itu, Mike berkata, ketika ini dia dalam tempoh berehat selepas melalui fasa latihan dan diet yang begitu ketat bagi merangkul kejayaan positif pada penyertaannya di peringkat antarabangsa.

"Saya masih dalam tempoh berehat dan hanya melakukan latihan ringan. Saya akan melakukan diet penuh selepas sambutan Tahun Baru Cina nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 1:52 PM