MIKE (kanan) mencium ibunya ketika ditemui di KLIA 2. FOTO ZULKARNAIN AZMAN
MIKE (kanan) mencium ibunya ketika ditemui di KLIA 2. FOTO ZULKARNAIN AZMAN
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Juara dunia bina badan, Syarul Azman Mahen Abdullah memberi bayangan mungkin akan bersara pada tahun hadapan sekiranya berjaya merangkul gelaran Olahragawan Negara 2022.

Justeru, Syarul Azman yang lebih mesra disapa Mike berharap gelaran juara dunia buat kali kelima di Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Phuket, Thailand akan menjadi tuah buat dirinya untuk merangkul gelaran Olahragawan Negara 2022 selepas terlepas empat kali bagi kategori itu di Anugerah Sukan Negara sejak 2016.

"Saya harap pihak penilaian sedia pertimbangkan saya kerana lazimnya sukan popular dan beraksi di Olimpik sahaja yang berjaya menang anugerah itu.

"Sama seperti mereka, saya turut bekerja keras, pergi ke kejohanan bawa nama Malaysia naik ke atas podium mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu Negaraku.

"Saya sudah berkali-kali dicalonkan, baik apa sahaja anugerah, tetapi kerap tewas, saya akur dan tetap berusaha dengan lebih keras, tetap dalam masa sama, saya harap mereka menilai atas usaha dan kejayaan saya, bukan populariti sukan semata-mata.

"Saya sudah memenangi semua gelaran dalam sukan bina badan dan jika saya dapat memenangi anugerah Olahragawan Negara, ia bakal menjadi penamat terbaik untuk karier saya.

"Kita lihat macam mana untuk tahun hadapan, jika masih tiada, saya mungkin undur diri, beri peluang kepada muka baharu," jelas Mike yang ditemui ketika sambutan kepulangan skuad bina badan negara di Lapang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, kelmarin.

Kali terakhir atlet bina badan yang diangkat menjadi Olahragawan Negara adalah Sazali Samad pada edisi 2014.

Selain Mike, atlet lain yang berpeluang menjadi pencabar untuk anugerah itu pada tahun ini adalah pesilat, Muhammad Robial Sobri yang dinobatkan juara Kelas A Putera ketika Kejohanan Dunia Silat dilangsungkan di Melaka Julai lalu.

Bagi acara berpasukan pula, Malaysia turut berbangga dengan pencapaian beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menamatkan penantian 45 tahun negara di Kejohanan Badminton Dunia, Tokyo, serta kejayaan pasukan Dodgeball merampas kembali gelaran juara dunia di Kanada pada Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 9:04 PM