AHMAD Badrus (tiga dari kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Syed Fairus (empat dari kanan), hari ini. FOTO OWEE AH CHUN
AHMAD Badrus (tiga dari kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Syed Fairus (empat dari kanan), hari ini. FOTO OWEE AH CHUN
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah kekal menjadi taruhan utama Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) untuk meraih gelaran juara dunia di Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia 2022 di Phuket, Thailand, bermula esok hingga 12 Disember ini.

Mohd Syarul atau lebih dikenali sebagai Mike, bukanlah asing dalam kejohanan berprestij itu apabila pernah meraih gelaran juara dunia sebanyak empat kali iaitu pada 2016, 2017, 2018 dan 2019.

Presiden MBBF, Datuk Dr Ahmad Badrus Othman berkata, Mike berada dalam kelas tersendiri dan diharap dapat meraih gelaran juara dunia kali kelima di Thailand.

"Pada saingan kali ini, 14 atlet negara akan bertanding dan kami berharap mereka dapat meraih satu emas, dua perak dan tiga gangsa.

"Kebiasaannya di Kejohanan Dunia memang itulah pencapaian yang dicapai atlet negara.

"Kami yakin dapat memenangi satu emas kerana menghantar seorang atlet yang benar-benar berkelas dunia dan sudah biasa beraksi di pentas antarabangsa. Harap dia (Mike) dapat memenangi gelaran juara dunia kelima," katanya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada atlet negara yang beraksi di kejohanan itu, hari ini.

Hadir sama, pengurus pasukan, Syed Fairus Syed Ali dan Timbalan Presiden MBBF, Lt Kdr (B), Kamaruzaman Kadir.

Ahmad Badrus berkata, Kejohanan Dunia itu adalah sebahagian medan pemilihan atlet untuk temasya Sukan Sea di Kemboja pada tahun depan.

Beliau berkata, Sukan Sea kebiasaaanya kurang mencabar berbanding Kejohanan Dunia dan mereka berharap boleh meraih lebih daripada satu emas di Kemboja.

Mengikut rekod, Mike yang sudah berusia 49 tahun, adalah penyumbang pingat emas tunggal negara pada Sukan Sea Hanoi di Vietnam, Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 5:12 PM