ATLET Muay Thai Melaka antara yang berpeluang beraksi di kejohanan bertaraf antarabangsa tahun depan. FOTO Nazri Abu Bakar
ATLET Muay Thai Melaka antara yang berpeluang beraksi di kejohanan bertaraf antarabangsa tahun depan. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kerajaan negeri Melaka menyenaraikan kejohanan Muay Thai bertaraf antarabangsa dalam sebahagian daripada kalendar pelancongan negeri berkenaan tahun depan.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, usaha akan dilakukan termasuk ke Thailand yang memiliki jaringan lebih besar dalam sukan muaythai.

Katanya, penganjuran sukan berkenaan antara usaha menarik kehadiran pelancong dan sub sektor pelancongan sukan sekali gus menarik penyertaan atlet antarabangsa.

Menurutnya, Pantai Puteri dicadang untuk menjadi lokasi penganjuran kejohanan yang menjanjikan saingan menarik menerusi penyertaan atlet dalam dan luar negara berkenaan.

"Insya-Allah ini menjadi perancangan besar kerajaan negeri 2023. Justeru saya meminta Bahagian Promosi Pelancongan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi merancang penganjuran terbabit.

"Sehubungan itu, kita mengharapkan persatuan Muay Thai dalam negara dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama mengetengahkan sukan berkenaan dalam usaha memenuhi misi penganjuran acara yang lebih besar kelak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali merasmikan Melaka By The Sea Carnival 2022 di Pantai Puteri, baru -baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi; Pengurus Besar BPP Melaka Sa'ari Basiron dan Pengarah MOTAC Melaka Jay Yeow.

Pada program Melaka By The Sea 2022 yang itu turut membabitkan pertandingan Muaythai Championship yang disertai kira-kira 100 peserta dari seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 8:08 PM