MIKE mungkin bersara tahun depan.
MIKE mungkin bersara tahun depan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jaguh bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah mahu memastikan gelaran dunia kali kelima di Kejohanan Dunia yang bakal berlangsung di Phuket, Thailand dari 6 hingga 12 Disember ini terus menjadi miliknya.

Malah, kejayaan terbabit kemungkinan menjadi kenangan terindah buat dirinya apabila kemungkinan akan berundur dari sukan bina badan pada musim depan bagi memberi laluan kepada muka baharu untuk menyinar.

Syarul atau dikenali sebagai Mike berkata, gelaran itu menjadi buruannya selepas berjaya menggenggam status dunia empat kali berturut-turut dari tahun 2016 hingga 2019 sebelum terlepas gelaran berkenaan pada edisi 2021 dengan berada di tempat ketiga.

Oleh itu, Mike yang juga Mr Asia lima kali dari 2016 hingga 2019 bertekad untuk kembali meraih gelaran dunia berkenaan meskipun sedar persaingan mungkin bertambah sengit apatah lagi dunia kini 'bebas' daripada pandemik Covid-19.

"Dalam lima minggu lagi ada kejohanan dunia di Phuket, Thailand. Pada ketika ini, saya tengah mempersiapkan diri dan kalau boleh saya nak gelaran kali kelima sebagai juara dunia.

"Saya masih mengekalkan diet pemakanan dan mental juga masih kuat. InsyaAllah saya akan cuba dapatkan pingat emas. Tahun ini boleh dikatakan, diet yang paling lama untuk saya.

"Saya mula diet pada Februari lalu untuk menghadapi temasya Sukan Sea, selepas itu saya ke Kejohanan Asia di Maldives dan seterusnya ke Kejohanan Dunia, hujung tahun ini.

"Daripada sudut pencabar itu, mungkin akan ada muka baharu dan saya menjangkakan tuan rumah Thailand juga kuat selain dari Timur Tengah. Sekarang ini pun bukan lagi pandemik, jadi kita tak tahu persaingan daripada atlet baharu, dan saya jangkakan satu persaingan sengit nanti,"katanya.

Mengikut rekod, tahun ini, Mike yang berusia 49 tahun, turut menambah koleksi baharu dalam kariernya apabila meraih pingat emas pada penampilan sulungnya di temasya Sukan Sea Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 2:28 PM