YUSOF raih gangsa acara 1km ujian masa C1.
YUSOF raih gangsa acara 1km ujian masa C1.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kejayaan skuad berbasikal para trek negara meraih satu perak dan satu gangsa di Kejohanan Dunia di Paris ternyata menggembirakan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Menurut presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, beliau ternyata berpuas hati dengan pencapaian itu sekali gus membuka peluang buat pelumba negara untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

"Bagi MPM, kami berbangga dan ini satu keputusan diinginkan. Kalau berbasikal dapat menunjukkan keputusan, sudah tentu di Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) nanti, sukan berbasikal akan menunjukkan satu keputusan yang menakjubkan," katanya di sidang media Majlis Penyampaian Amanat dan Taklimat Sukan Asia Virtus Oceania di Brisbane.

Ujar beliau pingat perak yang diraih dalam acara pecut berpasukan tandem campuran di Kejohanan Dunia adalah satu permulaan baik terutama dengan kehadiran bekas pelumba trek wanita negara Farina Shawati Mohd Adnan. Farina Shawati yang menjadi jurumudi kepada Nur Suraiya Muhamad Zamri berjaya memberi persembahan mantap bersama Mohd Khairul Hazwan Wahab yang dibantu jurumudi, Muhammad Khairul Adha Rasol.

Mereka mencatat masa 52.429 saat (s) di belakang pelumba Great Britain (48.901s) yang dibarisi Elizabeth Clegg, Georgia Holt, James Ball dan Steffan Llyod.

Sementara itu gangsa berjaya membawa pulang menerusi Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin menerusi acara 1 kilometer (km) ujian masa C1.

Yusof, 25, mencatat 1 minit 14.860s untuk meraih gangsa pada acara yang menyaksikan atlet Great Britain, Sam Ruddock muncul sebagai pemenang emas dengan 1:13.089s. Pelumba Sepanyol, Ricardo Ten pula meraih perak, 1:14.622s.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 7:51 PM