PENGARAH Adamas, Azura Abidin. FOTO Bernama
PENGARAH Adamas, Azura Abidin. FOTO Bernama
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Siasatan lebih terperinci akan dijalankan ke atas kem angkat berat Terengganu selepas atlet mereka 'sangkut' dalam ujian doping bagi dua edisi Sukan Malaysia (Sukma) iaitu di Perak 2018 dan Sukma 2022 di Lembah Klang, baru-baru ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas), Azura Abidin selepas mendapati atlet yang terbabit dengan pengambilan bahan terlarang itu datangnya dari negeri sama untuk dua edisi Sukma berturut-turut.

Jelasnya, penyiasatan itu untuk mengenal pasti punca sebenar yang berlaku dalam badan sukan angkat berat Terengganu.

"Kali ini kami akan buat penyiasatan sebab sebelum ini memang tak pernah buat secara terperinci mengenai kes tertentu.

"Jadi, kami akan buat disebabkan Terengganu ini kes doping mereka agak kerap berlaku. Kalau lihat Sukma lepas mereka terbabit dan kali ini pun sama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut berhubung kes doping yang membabitkan tiga atlet angkat berat dalam Sukma 2022, baru-baru ini, Azura berkata, buat masa ini mereka perlu menjalani tempoh penggantungan sebelum proses seterusnya dijalankan.

Beliau berkata, ketiga-tiga atlet terbabit sememangnya ada mengambil bahan terlarang seperti disenaraikan Adamas.

"Semua atlet ini sudah diberi surat meminta mereka beri tunjuk sebab dahulu dan mereka memang digantung buat sementara waktu ini.

"Kami sudah berikan mereka surat untuk dijawab sama ada mahu buka sampel B, mengaku atau bawa kepada sesi pendengaran. Selepas dua minggu kita akan teruskan dengan proses seterusnya.

"Mereka memang ada mengambil barang terlarang sebagaimana yang terdapat dalam senarai kami," katanya.

Azura berkata, hukuman mereka mungkin boleh dikurangkan sekiranya pengakuan dibuat semasa sesi pendengaran kes.

Beliau berkata, secara asasnya, hukuman akan dikenakan adalah penggantungan, tetapi tempohnya boleh dikurangkan jika mereka mengaku, namun ia tertakluk kepada panel pendengaran dan rayuan.

Sebelum ini, tiga atlet angkat berat lelaki berusia 16 dan 23 tahun iaitu seorang dari Perlis dan dua dari Terengganu didapati menggunakan bahan terlarang iaitu Metandienone, Tebutaline dan Oxymetholone.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 8:06 PM