IZZATI menjadi kapten skuad bola keranjang negara yang memenangi pingat emas di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. FOTO ihsan Nur Izzati Yaacob
IZZATI menjadi kapten skuad bola keranjang negara yang memenangi pingat emas di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. FOTO ihsan Nur Izzati Yaacob
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bekas pemain bola keranjang wanita negara, Nur Izzati Yaacob membuktikan tiada sempadan kaum untuk terbabit dalam sukan tertentu.

Malah, dia turut dipilih menggalas tugas sebagai kapten pasukan bola keranjang wanita yang memacu skuad negara merangkul emas ketika temasya Sukan Sea Kuala Lumpur pada 2017.

Membawa amanah itu, Izzati langsung tidak kekok untuk memimpin skuad negara biarpun dia dikelilingi pemain berlainan bangsa.

Izzati berkata, dia memilih sukan bola keranjang kerana ia adalah sukan unik dan minatnya mula bertambah apabila diajak oleh jurulatih Kuala Lumpur ketika itu.

"Tidak sukar untuk menyesuaikan diri kerana saya belajar di sekolah Cina iaitu SRJKC Mun Yee.

"Memang tiada masalah untuk berkomunikasi sama ada di dalam gelanggang atau di luar. Rakan pasukan terima saya dengan baik," katanya.

IZZATI masih aktif bermain bola keranjang untuk pasukan NS Matrix, Negeri Sembilan. FOTO ihsan Nur Izzati Yaacob
IZZATI masih aktif bermain bola keranjang untuk pasukan NS Matrix, Negeri Sembilan. FOTO ihsan Nur Izzati Yaacob

Izzati mula mewakili negara pada usianya 15 tahun dan pernah meraih dua emas di Sukan Sea 2015 di Singapura dan KL 2017.

Ketangkasannya membolehkan dia menyarung jersi negara ke temasya Sukan Komanwel Gold Coast pada 2018 dan masih aktif bermain bola keranjang untuk pasukan NS Matrix, Negeri Sembilan.

Dia yang berpengalaman menjadi penolong jurulatih di India untuk pertandingan FIBA bawah 18 tahun berkata, bola keranjang kini bukanlah satu sukan untuk golongan berbangsa Cina saja kerana industri sukan bola keranjang semakin meluas dengan pembabitan ramai pemain Melayu dan India.

Menurutnya, penyertaan pemain Melayu dan India semakin meluas dan dapat dilihat di Liga Bola Keranjang Komuniti Kebangsaan yang dianjurkan setiap tahun.

Katanya, kejohanan itu membabitkan penyertaan lebih 100 pasukan bola keranjang lelaki dan lebih 20 pasukan bola keranjang wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 9:30 AM