MOHD Zayad (tiga dari kanan) bersama jawatankuasa penganjur Kejohanan Bina Badan Mr Malaysia yang akan berlangsung esok dan Ahad.
MOHD Zayad (tiga dari kanan) bersama jawatankuasa penganjur Kejohanan Bina Badan Mr Malaysia yang akan berlangsung esok dan Ahad.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Mencari atlet bina badan berbakat seperti Sazali Samad serta Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah untuk diketengahkan ke pentas antarabangsa termasuk Sukan Sea Kemboja, tahun depan.

Demikian matlamat penganjuran Kejohanan Bina Badan Kebangsaan Mr Malaysia yang akan berlangsung selama dua hari bermula esok di Alor Setar, Kedah.

Setiausaha Eksekutif Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF), Nor Mohd Riduan Anan berkata, selepas dua tahun tidak dapat dianjurkan berikutan pandemik Covid-19, kejohanan itu mendapat sambutan amat luar biasa apabila seramai 158 peserta mengambil bahagian.

"Sukan bina badan di Malaysia tidak pernah ketandusan atlet berbakat seperti Sazali Samad serta Mohd Syarul Azman.

"Setakat ini apabila menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa sama ada di kejohanan dunia, Asia atau Sukan Sea, atlet bina badan negara sering meraih pingat emas.

"Di Sukan Sea Hanoi pada tahun ini juga kita ada meraih pingat emas menerusi Mohd Syarul, begitu juga ketika menyertai Kejohanan Asia bulan lalu, atlet bina badan negara meraih dua emas.

"Penganjuran Mr Malaysia adalah peluang kita untuk mencari atlet berbakat yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk di Sukan Sea Kemboja pada tahun depan yang sekali lagi menawarkan acara bina badan. Kita harus memanfaatkan peluang ini kerana bukan mudah untuk bina badan dipertandingkan di temasya sukan dwi tahunan itu," katanya.

Jelas Mohd Riduan lagi, sebanyak 17 kategori dipertandingkan pada edisi Mr Malaysia kali ini yang turut mempertandingkan kategori untuk wanita.

"Atlet daripada kesemua 14 negeri mengambil bahagian dengan negeri seperti Sarawak, Kuala Lumpur serta Kedah selaku tuan rumah boleh dikatakan menyertai hampir kesemua kategori dipertandingkan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bina Badan Kedah Darulaman (PBBKD), Datuk Mohd Zayad Md Ismail berkata, ini kali pertama Mr Malaysia dianjurkan di Kedah dekat Hotel Grand Alora.

"Kami sudah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Mr Malaysia sejak 2018 lagi. Sepatutnya kita menjadi tuan rumah pada 2020 selepas penganjuran kali terakhir di Sabah pada 2019.

"Bagaimanapun seperti diketahui semua, negara berdepan pandemik Covid-19 pada 2020 dan tahun lalu sekali gus menyebabkan Mr Malaysia tertangguh selama dua tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 5:44 PM