GAYA pemain tenis Sepanyol, Rafael Nadal ketika menentang Borna Coric di Terbuka Cincinnati. FOTO Reuters
GAYA pemain tenis Sepanyol, Rafael Nadal ketika menentang Borna Coric di Terbuka Cincinnati. FOTO Reuters
AFP

New York: Rafael Nadal memburu gelaran kelima Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan ke-23 Grand Slam di New York, minggu depan, dengan laluannya tidak lagi dihalang Novak Djokovic yang tidak dibenarkan bertanding kerana enggan divaksin.

Sejak 19 tahun selepas membuat kemunculan pertama, Nadal, 36, mengalami kecederaan berpanjangan di kejohanan dimenanginya pada 2010, 2013, 2017 dan 2019 iaitu tahun terakhir dia bertanding di AS.

Jaguh Sepanyol itu tidak dapat bermain empat kali di Terbuka AS dalam kariernya dan sekali lagi timbul kesangsian mengenai ketahanan fizikalnya untuk menghadapi cabaran selama dua minggu di Flushing Meadows.

Sejak cedera di perut yang menyebabkan dia menarik diri daripada menentang Nick Kyrgios di separuh akhir Wimbledon, Nadal hanya bermain sekali dan tewas kepada Borna Coric di Terbuka Cincinnati.

"Saya perlu memandang ke depan dan mula berfikir mengenai tenaga dibawakan penyokong kepada saya di New York," kata Nadal, yang sudah memenangi dua daripada tiga acara Grand Slam tahun ini iaitu Terbuka Australia dan Perancis.

"Ini adalah tempat yang istimewa untuk saya dan saya gembira di sini. Ada banyak pengalaman sukar dilupakan di sini dan saya akan memberikan aksi terbaik pada setiap hari."

Nadal kerap mengatasi halangan dan jangkaan ramai termasuk memenangi Terbuka Perancis untuk kali ke-14 pada Jun lalu, sekalipun bergantung kepada suntikan penahan sakit pada kaki di sepanjang kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 10:51 AM