KETUA pasukan dodgeball lelaki, Aaron Christopher Pek.
KETUA pasukan dodgeball lelaki, Aaron Christopher Pek.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas dua tahun berturut-turut berjaya merangkul kejuaraan Kejohanan Dunia sebelum dirampas Amerika Syarikat (AS) pada 2019 di Cancun, Mexico, skuad dodgeball lelaki negara berazam untuk kembali menjadi juara pada edisi kesembilan yang bakal bermula 28 Ogos ini.

Menurut ketua pasukan negara, Aaron Christopher Pek selepas melakukan pemilihan dan persediaan selama enam bulan, ia masa terbaik buatnya bersama rakan-rakan lain merampas semula kejuaraan itu sekali gus menyamai rekod Kanada yang sekarang ini gah dengan tiga gelaran.

Sejak dipertandingkan pada 2012 bermula di Kuala Lumpur, Kanada menjadi kuasa utama pasukan lelaki dengan merangkul tiga kejuaraan pada 2012 (Queenstown), 2014 (Hong Kong) dan 2016 (Melbourne).

"Persedian sudah bermula sejak enam bulan lalu di mana masa pertama kami melakukan pemilihan, fasa kedua mengecilkan pasukan dan ketiga berlatih dengan lebih mendalam iaitu berkaitan corak permainan serta strategi," katanya.

Ujar Aaron, sudah pastinya pada edisi kesembilan ini mereka meletakkan sasaran untuk juara sekali gus merampas semula kejuaraan dari AS, selepas tumpas pada final 2019.

"Kami mahu dikenali sebagai kuasa utama dodgeball untuk pasukan lelaki. Seperti biasa bagi kali ini AS akan menjadi pencabar utama (selepas kedua-dua pasukan berentap di final 2018 dan 2019).

"Mereka sentiasa menjadi pencabar pada dua edisi sebelum ini dan tahun ini saya rasa mereka akan menjadi halangan utama kami," katanya.

Kejohanan pada 2020 dan 2021 tidak dapat dijalankan akibat pandemik Covid-19, namun edisi kesembilan ini sedikit berbeza apabila Persekutuan Dodgeball Dunia turut mempertandingkan acara campuran.

Semalam, Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Datuk V Radhakrishnan mengharapkan pasukan negara dapat mengulangi kegemilangan diraih pada 2017 sekali gus menghadiahkan emas pada Hari Kemerdekaan.

Pasukan wanita pula pernah muncul juara dua kali berturut-turut pada 2016 dan 2017, namun AS kembali menguasai dengan merampas semula kejuaraan di edisi 2018 dan 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 4:01 PM