SERENA umumkan akan bersara selepas Terbuka AS. -FOTO AFP
SERENA umumkan akan bersara selepas Terbuka AS. -FOTO AFP
AFP

Cincinnati: Serena Williams bakal berdepan cabaran seawal pusingan pertama apabila dia akan bertemu dengan penyandang juara Terbuka Amerika Syarikat, Emma Raducanu apabila jelajah perpisahan membabitkan pemain tenis AS itu diteruskan di Cincinnati minggu depan.

Serena juara 23 kali Grand Slam, minggu ini mendedahkan bahawa 'kiraan detik sudah bermula' untuk persaraannya dengan pemain berusia 40 tahun itu dijangka akan mengucapkan selamat tinggal selepas kempen utama di Terbuka AS bermula akhir bulan ini.

Serena memenangi perlawanan perseorangan pertamanya dalam tempoh setahun apabila dia mengalahkan pemain Sepanyol, Nuria Parrizas Diaz pada pusingan pertama di Toronto minggu lalu.

Kemenangan itu diraih sebelum dia mendedahkan dalam artikel Vogue dan Instagram bahawa dia akan 'pergi jauh' daripada tenis.

Dalam perlawanan pertamanya selepas pengumuman itu, Serena tewas straight set kepada pemenang pingat emas Olimpik Tokyo dari Switzerland Belinda Bencic di pusingan kedua.

Serena akan menghadapi satu lagi laluan sukar di Cincinnati di mana dia menjadi juara sebanyak dua kali.

Pemenang antara Serena-Emma akan berdepan sama ada pemain di ranking 20, Victoria Azarenka atau pemain di rangking ke-31 Kaia Kanepi dari Estonia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 11:45 AM