PEMAIN ragbi Jepun dan Perancis bertakafur seminit sebagai penghormatan kepada mendiang Shinzo Abe. FOTO REUTERS
PEMAIN ragbi Jepun dan Perancis bertakafur seminit sebagai penghormatan kepada mendiang Shinzo Abe. FOTO REUTERS
AFP

Tokyo: Pemain skuad ragbi Jepun berkata, mereka sedih dan terkejut dengan pembunuhan bekas perdana menteri, Shinzo Abe, tetapi kekal fokus untuk perlawanan ujian kedua dengan Perancis.

Jepun tewas 15-20 kepada juara Kejohanan Enam Negara itu pada hari penuh emosi di Stadium Nasional Tokyo, sehari selepas perdana menteri paling lama berkhidmat itu ditembak mati ketika berkempen.

Lebih 57,000 penonton bertafakur selama seminit kepada lelaki yang dianggap peminat utama skuad ragbi negara itu ketika Jepun menganjurkan Ragbi Piala Dunia pada 2019.

Michael Leitch, yang mengetuai Jepun melakar sejarah ke suku akhir kejohanan, tiga tahun lalu, berkata Abe adalah lelaki hebat yang menyokong ragbi.

"Pasukan ini terkejut apabila dia dibunuh secara kejam seperti ini," kata Leitch, yang dilahirkan di New Zealand, tetapi berhijrah ke Jepun ketika berusia 15 tahun.

"Semua orang bercakap mengenainya dan saya amat sedih dan bersimpati dengan keluarganya.

"Saya berharap kami menang hari ini sebagai penghormatan terakhir kepadanya, namun ia tidak berlaku."

Abe yang juga ahli politik popular di Jepun sedang berucap di wilayah Nara, sebelum ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki pada pagi Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 9:33 PM