LUQMAN Daniel meraih lima pingat pada JCM Siri 2 2022 di Velodrom Nasional Nilai. FOTO Ihsan Persatuan Berbasikal Sarawak
LUQMAN Daniel meraih lima pingat pada JCM Siri 2 2022 di Velodrom Nasional Nilai. FOTO Ihsan Persatuan Berbasikal Sarawak
Mohd Roji Kawi


Kuching: Harapan pasukan berbasikal Sarawak untuk meraih podium pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20, September ini semakin cerah dengan prestasi baik yang dipamerkan pelumba muda pada Junior Cycling Malaysia (JCM) Siri 2 2022 di Velodrom Nasional, Nilai, yang berakhir semalam.

Pasukan berkenaan yang dibimbing bekas jaguh berbasikal trek negara, Josiah Ng, berjaya meraih tujuh pingat dengan dua daripadanya emas, tiga perak dan dua gangsa sepanjang kejohanan tiga hari bermula Khamis lalu.

Pengurus pasukan, Irawan Sudarsono berkata, pingat emas diraih menerusi Muhammad Luqman Daniel Roji dalam acara kejar mengejar individu 4 kilometer (km).

Satu lagi pingat emas berjaya dimenangi menerusi acara kejar mengejar berpasukan yang turut dibarisi Muhammad Luqman Daniel bersama Awang Asfarahan Awang Asfia, Adi Hafiy Idlan Muliadi dan Harrith Affan Jobeli.

Pingat perak perak pula dimenangi acara pecut berpasukan menerusi gandingan Muhammad Luqman Daniel, Harrith Affan dan Awang Asfarahan.

Dua lagi pingat perak diraih acara omnium sekali lagi menerusi Muhammad Luqman Daniel dan acara 1km ujian masa individu menerusi Awang Asfarahan.

Pingat gangsa pula dimenangi Muhammad Luqman Daniel dalam acara ujian masa 1km lelaki dan satu lagi menerusi Bronze Awang Asfarahan dalam acara omnium.

"Prestasi pasukan kini cukup memberangsangkan dan menambah keyakinan kepada pelumba menjelang Sukma Ke-20 yang semakin hampir dan pasukan akan mahu tampil dalam keadaan terbaik dari segi mental dan fizikal.

"Pelumba kini perlu berehat seketika dan beralih fokus ke Kejohanan Jalan Raya Kebangsaan yang akan berlangsung di Perak dari 24 hingga 26 Jun ini dan ini adalah pendedahan terbaik mereka dalam persiapan pasukan menjelang Sukma Ke-20," kata Irawan dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasukan berbasikal Sarawak kini berusaha mencari lebih banyak dana untuk kekal berdaya saing dan menaikkan prestasi pasukan ke tahap seterusnya.

"Sumber diperlukan untuk memberi pasukan platform terbaik bagi terus memenangi pingat dalam masa terdekat.

Mengulas pencapaian pada JCM Siri 2 2022, Irawan berkata, Muhammad Luqman muncul pelumba terbaik pasukan dengan meraih lima pingat iaitu termasuk dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

"Dalam acara 4 km kejar mengejar individu, dia mencatat rekod baharu negeri dengan kepantasan 4:34:761 mengatasi Mohd Amir Farhan dari Selangor dan Muhamad Firas Aliyan dari Kuala Lumpur.

"Awang Asfarahan juga melakukan tugas cemerlang dengan menggondol empat pingat, iaitu satu emas, dua perak dan satu gangsa," katanya.

Pada Kejohanan Trek Kebangsaan, Mei lalu, pasukan Sarawak melakar sejarah tersendiri apabila meraih podium pertama menerusi Muhammad Luqman Daniel yang meraih pingat perak menerusi acara kejar mengejar individu dan satu pingat gangsa menerusi acara kejar mengejar berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 4:36 PM