EAIN Yow (kiri) mahu tamat badi kejuaraan kejohanan kebangsaan. FOTO Ihsan Persatuan Raket Skuasy Malaysia
EAIN Yow (kiri) mahu tamat badi kejuaraan kejohanan kebangsaan. FOTO Ihsan Persatuan Raket Skuasy Malaysia
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain skuasy nombor satu negara, Ng Eain Yow bertekad untuk merampas gelaran juara divisyen perdana lelaki Kejohanan Skuasy Kebangsaan 2022 daripada juara bertahan, Ivan Yuen.

Eain Yow, yang menduduki ranking ke-23 dunia, mempunyai misi penting untuk menamatkan penantian untuk gelaran itu pada edisi kali ini bermula dari 8 hingga 12 Julai di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di sini selepas tujuh penampilan terdahulunya tidak berjaya.

"Namun, untuk mencapai misi itu, saya perlu memperbaiki kelemahan saya dari segi penamat dan serangan dari depan gelanggang ," katanya selepas sidang media di venue kejohanan hari ini.

Pencapaian terbaiknya adalah pada edisi 2019, apabila berjaya mara sehingga ke final, sebelum tewas kepada Ivan.

Sementara itu juara empat kali (2017-2020) Ivan berkata, dia tidak mahu meletakkan tekanan, tetapi mahu memberi tumpuan kepada satu demi satu perlawanan dihadapinya.

"Saya tak nak fikir sampai ke final lagi sebab setiap orang punyai peluang sama untuk kejohanan ini, hari pertama adalah hari yang paling penting penting sama ada kamu sedia untuk pertandingan dan semoga saya dapat bermula dengan baik," katanya.

Bagi kategori perdana wanita, persaingan sengit dijangka di antara S Sivasangari, Rachel Arnold dan Aifa Azman.

Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Gerard Monteiro pula berkata edisi ke-37 kejohanan kebangsaan itu berjaya menarik 302 penyertaan, selepas edisi 2021 dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

"Terdapat rasa keterujaan kerana ia merupakan acara pertama untuk pemain senior diadakan selepas beberapa lama dan ramai bekas juara dan pemain senior akan beraksi dalam pelbagai divisyen. Mereka akan diuji secara serius oleh pemain junior," katanya.

Terdahulu, beliau mengumumkan kategori riben biru sebagai divisyen perdana untuk lelaki dan wanita selain lapan kategori - divisyen 1 hingga 3 (lelaki dan wanita), divisyen 4 dan 5 (lelaki), divisyen lelaki atas 35 tahun, divisyen lelaki atas 40 dan divisyen lelaki atas 50.

Dalam kategori Squash57 akan dipertandingkan divisyen terbuka lelaki, lelaki dan wanita atas 40, lelaki atas 50 dan atas 60.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 11:11 PM